Betul Kata Mahathir, Melayu Mudah Lupa

Mahathir sokong Najib mansuh ISA


KUALA LUMPUR, 19 Sept – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan sokongan beliau terhadap penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti yang diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Khamis lalu.

Beliau, yang eranya menyaksikan penggunaan ISA dalam Ops Lalang 1987 berkata, langkah itu akan memberi lebih kebebasan kepada rakyat Malaysia.

Namun, Dr Mahathir menegaskan ISA yang diwarisi sejak zaman British sebenarnya tidaklah terlalu kejam kerana rakyat Malaysia masih bebas memberi pandangan dan pendapat mereka.

“Tidak semua mereka yang membuka mulut terus ditahan di bawah ISA...dan tanggapan bahawa Malaysia tidak bebas kerana ISA juga tidak tepat,” katanya dipetik Bernama Online.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran KelabChedet.com di sini.

Dr Mahathir berkata tindakan menghapuskan ISA meletakkan Malaysia “pada tahap moral yang tinggi”, malah boleh dianggap setahap lebih baik daripada negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.

“Selepas penghapusan akta itu, kita boleh mulakan kempen untuk minta mereka lepaskan tahanan tanpa bicara, sebagai contoh, di kem tahanan Teluk Guantanamo.

“Masih ada yang ditahan sejak 10 tahun lepas dan tidak dibicarakan, ditahan hanya kerana mereka orang Islam,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata Malaysia kini lebih liberal dengan penghapusan ISA dan berhak membuat tuntutan seumpama itu terhadap negara seperti Amerika dan Britain.

“Dulu mereka menegur Malaysia kononnya zalim, menahan tahanan tanpa perbicaraan, namun itu yang mereka lakukan sekarang ini.

“Mungkin mereka baru sedar dalam situasi tertentu, Malaysia terpaksa menahan orang tanpa perbicaraan, namun apa yang mereka lakukan di Teluk Guantanamo lebih kejam dengan meluluskan undang-undang yang membenarkan penyeksaan tahanan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir khuatir puak pelampau dan perkauman di Malaysia akan mengambil kesempatan untuk membuat kenyataan yang akan merugikan negara apabila ISA dihapuskan.

No comments

Powered by Blogger.