Enggan beri Suara Keadilan permit, bukti Najib tidak ikhlas

(Oleh: Nabihah Hamid)

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran menyelar tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Hussein yang enggan memberi jawapan samada akhbar Suara Keadilan akan diberi permit semula.

“Keengganan berterusan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan permit untuk Suara Keadilan petunjuk paling jelas bahawa kerajaan tidak ikhlas untuk meliberalisasikan undang-undang media dan membenarkan kebebasan sebenar akhbar di negara ini,” katanya.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, dengan menggantikan pembaharuan permit penerbitan tahunan kepada permohonan sekali sahaja, selain memansuhkan ISA.

Namun hari ini Hishamuddin Hussein dalam satu sidang media membuat kenyataan bahawa “keselamatan” akan menjadi kebimbangan utama dalam mengeluarkan permit bagi penerbitan akhbar.

“Ini mengesahkan kerajaan hanya memberi alasan palsu dan munafik seperti ‘sebab-sebab keselamatan’ untuk menafikan permit penerbitan yang mengkritik Kerajaan Barisan Nasional (BN),” kata Surendran dalam satu kenyataan.

“Ia juga bukti jelas bahawa reformasi yang berupa sebagai PM hanyalah satu penipuan besar-besaran ke atas rakyat,” tambah beliau.

Katanya, walaupun PM membuat janji-janji untuk menjadikan negara “demokrasi yang terbaik”, namun kenyataan Hishamuddin bahawa budi bicara mutlak untuk memberi dan membatalkan permit akan dikekalkan, membuktikan PM hanya sekadar menabur janji.

Justeru itu Surendran menyeru kerajaan supaya melakukan pembaharuan secara efektif seperti yang diumumkan PM agar negara berubah menjadi demokrasi yang betul dan matang.

No comments

Powered by Blogger.