ISA: Saya minta maaf pada Najib, kata Zaid

KOTA BARU, 16 Sept — Bekas menteri Kabinet Datuk Zaid Ibrahim memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana suatu ketika dahulu beliau tidak pernah yakin dengan keupayaan Najib untuk melakukan sesuatu termasuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Zaid berkata ternyata pandangan beliau terhadap Najib adalah meleset sama sekali apabila Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan akta berkenaan semalam.

“Saya dahulu tidak yakin Najib mempunyai keberanian untuk membuat sesuatu yang besar dan hari ini saya minta maaf pada Perdana Menteri kerana akhirnya sanggup berbuat sesuatu yang bermakna dan besar untuk memansuhkan ISA ini.

“Saya sifatkan ini sebagai satu hadiah kepada rakyat Malaysia,” katanya dipetik Bernama Online.

Zaid yang kini Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air berkata apa yang dilakukan Najib itu telah memberi nafas baru kepada istilah demokrasi untuk terus subur di negara ini.

Beliau yakin Najib tidak mempunyai agenda politik dalam mengumumkan pemansuhan berkenaan dan meminta semua rakyat dan pembangkang agar menyokong setiap pembaharuan yang mahu dilaksanakan Perdana Menteri demi rakyat.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia semalam, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Katanya, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib.

Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

No comments

Powered by Blogger.