Sumber: Ahmad Jauhari dilantik Pengarah Urusan MAS

Oleh Jahabar Sadiq


KUALA LUMPUR, 13 Sept ─ Malaysia Airlines (MAS) yang berhadapan dengan masalah kerugian memilih veteran korporat Ahmad Jauhari Yahya sebagai ketua eksekutif barunya bagi memberi suntikan ke atas syarikat penerbangan kebangsaan ini dan menjelang pelancaran pesawat ekspres yang terbaru, Sapphire pada November ini.

Beliau dipilih daripada kalangan empat nama yang disenaraipendekkan, kata sumber.

Ahmad Jauhari juga dijangka menggunakan kedudukan sepenuhnya untuk menyelesaikan isu membabitkan tiga kesatuan sekerja yang minggu lalu menegaskan kecewa dengan rancangan MAS mengadakan perkhidmatan baru Sapphire.

“Ada empat nama tetapi Ahmad Jauhari ada kelebihan untuk memotivasikan para pekerja demi masa depan syarikat penerbangan ini,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

“Pada dasarnya beliau telah bersetuju dengan apa yang disebutkan sebagai perkhidmatan nasional,” kata satu lagi sumber yang turut menambah bahawa personaliti berusia 56 tahun ini kemungkinan akan dibantu oleh pengarah eksekutif baru dilantik Mohammed Rashdan Yusof sebagai orang nombor dua.

Tugas pertamanya ialah bercakap dengan pemimpin kesatuan berhubung rungutan dan kekecewaan mereka ekoran keputusan bahawa ahli-ahlinya akan diminta berpindah ke Sapphire, yang akan mengambil alih aset-aset pesawat seperti Boeing 737-800 milik MAS dan Firefly.

Sapphire dijangka memulakan perkhidmatannya November ini sebagai produk premium seiring dengan pesawat tambang murah AirAsia.

Pesawat komuniti Firely akan berhenti menggunakan jet-jet Boeing mulai Khamis ini.

Ahmad Jauhari dijangka akan bekerja bersama ketua eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dalam memasarkan MAS sebagai pesawat antarabangsa premium untuk pulangan lebih baik.

“MAS perlu membuat duit menerusi pesawat-pesawat dan perkhidmatan yang baik, bukan dengan publisiti daripada penajaan bola sepak,” kata sumber.

Semalam, MAS dan AirAsia mengumumkan akan sama-sama menaja jersi Kelab Bolasepak Queens Park Rangers (QPR) dalam Liga Perdana Barclay (BPL) bagi musim 2011/2012 dan 2012/2013.

MAS akan menaja jersi pemain kelab itu bagi perlawanan di tempat sendiri dalam BPL itu manakala tajaan AirAsia adalah bagi perlawanan QPR di tempat lain dan jersi ‘ketiga’ pula bagi kedua-dua musim BPL yang serupa.

Kata Sumber, Ahmad Jauhari perlu mencari pakar-pakar pemasaran yang kompeten untuk melariskan perkhidmatan MAS yang akan merangkumi pesawat besar jarak jauh termasuk Airbus A380 mulai tahun depan.

Pengalaman Ahmad Jauhari dalam industri penerbangan setakat ini ialah pelantikannya sebagai penama dalam lembaga Malaysia Airports Holdings Bhd oleh Khazanah Nasional Berhad, syarikat pengurus aset negara yang mempunyai pegangan dalam kedua-dua MAS dan AirAsia.

Beliau kini merupakan pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Premium Renewable Energy (Malaysia) Sdn Bhd sejak Mac 2011 dan pernah berkhidmat di Malakoff Bhd, Malaysian Resources Corp Bhd dan Time Engineering Bhd.

Sebelum menceburi dunia korporat beliau merupakan Pengurus Besar Kanan Kumpulan (Pengeluaran dan Pengedaran) di New Straits Times Press Bhd.

No comments

Powered by Blogger.