Terkini! Fakta Mengejutkan Mengenai Serangan Bukit Kepong
RAYMOND DANCEY Ketua Balai Polis Bukit Kepong
Sebaik saja Jepun kalah di dalam peperangan dunia ke-2, tentera-tentera Gurkha dan Fiji mula menunjukkan belang mereka di Tanah Melayu. Berdasarkan maklumat dari Pak Johan dan Awang, perangai tentera ini yang suka bermabuk-mabuk dan gilakan perempuan meresakan penduduk kampung. Barangkali mereka di luar sana boleh merujuk kepada orang-orang lama yang masih hidup bagaimana perangai tentera Fiji dan Gurkha semasa pendudukan British di Tanah Melayu. Tanyalah benarkah mereka ini akan mengambil mana-mana perempuan yang mereka suka?. Jawapan dari XPDC yang kami lalui adalah memang benar. Mereka menjadi antara punca kebencian orang kampung dan Mat Indera terhadap British.
Sebelum saya menyentuh isu serangan di Bukit Kepong, saya ingin pembaca membuka fikiran terlebih dahulu. Fakta-fakta ini hendaklah dibaca tanpa anda menghakimi siapa pengkhianat dan pejuang terlebih dahulu. Bebaskan diri anda dari kecenderungan anda sama ada kepada media Kerajaan atau Pembangkang.
Fakta penting yang harus anda tahu ialah, kebanyakkan pegawai-pegawai atasan Polis di Tanah Melayu ketika itu adalah daripada tentera British. Sebenarnya tujuan penyerangan PKM Bukit Kepong adalah SAMA seperti penyerangan pembunuhan ke atas Sir Henry Gurney. Cuma kesudahan serangan itu memberikan kesan yang berbeza.
Henry Gurney dilantik oleh British menjadi Pesuruhjaya Tinggi British Di Tanah Melayu pada 13 September 1948 selepas bertugas di Palestin sebagai Setiausaha Kerajaan British sejak tahun 1946. Henry Gurney adalah individu yang bertanggungjawab di atas pembentukan negara haram Israel pada 1948. Semasa pendudukan British di Palestin, beribu warga Islam telah dibunuh oleh tentera British. Antara anggota tentera British yang bertugas di Palestin ketika itu adalah Raymond Dancey. Siapakah Raymond Dancey?. Malayan Police Lt.135 Raymond Dancey atau Ray Dancey adalah Ketua Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950.
Kita imbas kembali peristiwa serangan PKM terhadap Henry Gurney. Pada 6 Oktober 1951, dia ditembak mati di Bukit Frasser ketika sedang di dalam perjalanan menghadiri satu mesyuarat. Dia diserang hendap oleh PKM dari Parti Komunis Malaya. Kereta Roll Roycenya ditembak di tengah perjalanan. Serangan yang diketuai Chin Peng itu hanya untuk membunuh Henry Gurney sahaja - seorang ketua penjajah British. Isteri dan anaknya dibiarkan hidup ketika serangan itu di bawah arahan ketua mereka - Chin Peng. Jadi anggota PKM mematuhi arahan supaya membebaskan anak dan bini Henry Gurney.
Berbalik kepada serangan di Bukit Kepong, Mat Indera bersama bantuan PKM telah menyerang Balai Polis Bukit Kepong yang Ketuanya ialah Ray Dancey - seorang tentera penjajah British. Bagaimanapun pada hari serangan iaitu 23 Februari 1950, Ray Dancey tiada di situ. Dan perkara itu diluar pengetahuan Mat Indera. Rancangan asal, Mat Indera bahawa serangan itu hanya sebagai amaran terhadap kerajaan British dengan membunuh Ray Dancey, namun beliau hanya menyedari ketiadaan Ray Dancey pada hari penyerangan tersebut.
Bagaimanapun ada percanggahan pendapat dari Baharum (adik Mat Indera) dan Pak Yahya (adik Pak Sanib - rakan baik Mat Indera). Menurut Baharum semalam, Mat Indera tidak terlibat di dalam serangan itu, Mat Indera hanya hadir lewat ketika serangan tetapi untuk menyelamatkan anggota Polis. Tetapi maklumat yang diterima oleh Pak Yahya daripada abangnya Pak Sanib, Mat Indera menggunakan bantuan PKM untuk melakukan serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong dan disasarkan ke atas Ketua Polisnya Ray Dancey. Bagaimanapun fakta yang sama dari kedua-dua belah pihak adalah Mat Indera bukan seorang anggota Komunis.
Memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang ketika serangan itu, pertempuran mula tercetus apabila Konstabel Jaffar bin Hassan mencabar dan menembak mati seorang anggota PKM yang sedang memotong kawat berduri balai polis tersebut. Selepas itu berlakulah pertempuran yang sengit dari kedua-dua belah pihak. Walaupun didesak untuk menyerah diri, Sgt Jamil Mohd Shah, enggan menyerah diri.
Selepas PKM berjaya menawan Mariam Ibrahim, isteri kepada Konstabel Mohamad Jaafar. Usaha terakhir yang dapat dibuat oleh Mat Indera bagi meredakan keadaan ialah dengan memujuk Mariam supaya merayu agar polis menyerah diri. Bagaimanapun tawaran ini tidak diendahkan oleh polis. Akhirnya serangan itu berakhir dengan sebuah tragedi yang kita ketahui, dan Mat Indera tidak dapat menghalang serangan balas anggota PKM terhadap anggota polis. Kerana apa anggota PKM tidak memperdulikan arahan Mat Indera, sebab Mat Indera bukanlah ketua mereka. Mat Indera bukan Chin Peng. Menurut perbualan kali terakhir Mat Indera bersama Pak Johan sebelum beliau dihukum gantung, Mat Indera menafikan dirinya adalah seorang anggota komunis, apatah lagi ketua mereka. Mat Indera hanya bergerak di dalam serangan itu dengan bantuan PKM untuk memburu Ray Dancey, namun nasi sudah pun menjadi bubur. Anggota Polis yang ketika itu dibawah jajahan British pula menjadi mangsa.
Yusof Rono MM 7645
Apa yang dapat Mat Indera lakukan ketika itu hanyalah melindungi saki baki polis yang terselamat, antaranya ialah Yusof Rono yang ketika itu diacukan senapang di kepalanya oleh salah seorang anggota PKM, Mat Indera telah menghalangnya daripada menembak Yusof Rono, sambil berkata "sudahlah! kita dah dapat apa yang kita inginkan". Ini membuat Yusof Rono terselamat daripada terbunuh. Malah isterinya mengakui insiden tersebut di dalam satu temubual terbitan RTM yang dikeluarkan pada tahun 1970an dengan berkata 'Askar komunis melayu menyelamatkan yusof rono'.
Tragedi Bukit Kepong ini telah dijadikan modal sebagai dakwaan keganasan dan kekejaman Mat Indera yang kononnya seorang pemimpin Komunis dan menentang kerajaan British. British telah menaikkan tawaran hadiah sebanyak $75,000 sebagai hadiah tawaran penangkapan. Sebelum peristiwa Bukit Kepong, tawaran hadiah terhadap tangkapan beliau adalah $25,000 jika hidup-hidup, dan $10,000 jika mati.. Sehinggalah akhirnya Mat Indera berjaya diperdaya rakan baiknya Mat Tukyo untuk menghadiri kenduri di rumah Wak Bladang.
XPDC Menjejak MAT INDERA - Siri 4 : Fakta MENGEJUTKAN Disebalik Serangan Bukit Kepong
No comments
Post a Comment