Warkah buat perdana menteri
Mamu Tanjung
Dear Najib Razak (sila baca dengan loghat utara),
Mamu dengan rasa rendah diri menulis warkah ini untuk tatapan tuan Perdana Menteri, dan juga sebagai rekod bahawa apabila sejarah negara ini berdepan dengan perubahan, Mamu telah turut bersuara dan memberikan pandangan. Mamu berharap agar warkah yang tidak seberapa ini boleh diambil sebagai iktibar untuk kemaslahatan kita bersama.
Terlebih dahulu Mamu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya kepada tuan Perdana Menteri, memandangkan haritu Mamu tak berkelapangan nak pi makan briyani di Permatang Pauh. Hujan lebat, Mamu semput, tak tahan sejuk. Maka ucapan maaf zahir batin Mamu titipkan untuk Tuan Perdana Menteri, isteri tercinta dan anak-pinak sekalian. Semoga Tuhan menerima amal ibadat kita semua di sepanjang bulan Ramadhan yang lalu.
Najib, my dear;
Mamu telah menonton pengumuman besar yang telah dibuat pada malam ambang sambutan Hari Malaysia, yang telah disiarkan secara langsung di media arus perdana. Mulanya Mamu tak berapa berkenan nak tengok, memandangkan media arus perdana mempunyai reputasi yang agak buruk. Namun menyedari bahawa amanat daripada pihak Perdana Menteri perlu ditekuni, maka Mamu pun pi lah duduk depan televisyen, sambil-sambil mengadap twitter, menantikan analisa dan komen secara langsung oleh penduduk Twitterjaya.
Secara am, Mamu ingin mengucapkan tahniah seraya berkata, “Syabbashh mere betey!” sambil menepuk tengah belakang, kepada Tuan Perdana Menteri atas keberanian menongkah arus mengambil langkah berisiko tinggi untuk menyatakan apa yang telah dinyatakan dalam ucapan tersebut. Mamu melihat wajah Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri kelihatan begitu riang gembira. Mamu tumpang berbangga dengan keberanian yang telah dipertontonkan dengan mengenepikan sekalian juak-juak yang begitu lantang menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri. Mamu sangat berharap untuk mendengar respon mereka yang dahulu begitu terkinja-kinja melaungkan slogan pro ISA, dan melabel pakatan pembangkang sebagai pengkhianat dan punya agenda menjual negara. Tidak dilupakan juga label komunis dan sosialis yang diberikan kepada mereka yang berjuang untuk memansuhkan ISA sejak dulu.
Tuan Perdana Menteri,
Akta Keselamatan Dalam Negeri sudah berusia 51 tahun sejak 1 Ogos 1960. ISA telah digunakan secara meluas untuk menutup mulut sekalian ahli politik yang bersilang arah dengan ideologi dan kebijakan kerajaan sekian lama. Kita tidak lupa Ops Lalang 1987 yang telah menyaksikan ratusan ahli politik ditahan tanpa bicara hanya kerana melontarkan ide politik yang berbeza selera dengan kerajaan.
Kita juga telah melihat dan membaca tulisan mereka yang ditahan di Kamunting, perihal penyeksaan dan pelanggaran hak asasi manusia yang telah diterima. Mamu masih ingat tulisan Dr Syed Husin Ali di dalam bukunya 'Dua Wajah' tentang penderaan yang (didakwa) dilakukan terhadap para tahanan. Kecut perut Mamu apabila membaca cerita tersebut. Itu belum lagi mengambil kira kisah Malik Husin yang ditahan ISA sewaktu Reformasi 1998. Bagaimana kemaluannya (didakwa) ditusuk dengan dawai besi. Trauma beliau berbulan, apabila terdengar bunyi gemerincing jambak kunci.
Justeru, Mamu yakin bahawa Tuan Perdana Menteri juga setuju bahawa ISA adalah akta zalim, yang telah digunakan untuk menutup mulut dan mengurung mereka yang berani bertingkah dengan ego kerajaan tanpa perlu melalui lunas undang-undang normal, seperti yang termaktub dalam Perkara 5, Perlembagaan Persekutuan.
Begitu juga halnya dengan Ordinan Darurat, yang tanpa pengetahuan ramai, masih lagi terpakai sehingga ke hari ini. Paling kelakar, Ordinan ini turut digunakan untuk menangkap dan mengurung mereka yang mencuri motorsikal atau paling tidak disyaki mencuri motorsikal. Kemudian dari itu boleh pula diperas ugut keluarganya agar membayar sejumlah wang sebelum dibebaskan anak remaja yang ditahan tanpa bicara itu.
Mamu agak-agak, benda yang dipanggil Ordinan Darurat ini, digunakan khas untuk mengawal aktiviti subversif gerila komunis, di zaman Darurat 1948; yang sehingga hari ini ramai juga tidak tahu kenapa ia disebut 'Darurat' menentang komunis, dan bukannya 'Perang' terhadap komunis. Barangkali pihak insuran tidak akan membayar pampasan untuk sebarang kerugian dalam pelaburan pihak British pada waktu itu, kalau Malaya diisytihar kawasan perang. Mungkinlah. Mamu mana lah tau.
Justeru, Mamu menyambut baik cadangan pihak Tuan Perdana Menteri untuk memansuhkan perkara-perkara drakonian ini, yang telah sekian lama diperjuangkan oleh badan-badan seperti SUARAM, Gerakan Mansuhkan ISA dan juga pihak-pihak dalam parti-parti pembangkang. Nyatanya, UMNO selama ini, tidak pernah pun kedengaran sebarang usaha atau niat untuk memansuhkan ISA. Apatah lagi untuk membatalkan perisytiharan darurat. UMNO, pada pandangan Mamu, pastilah suka bila ia mempunyai suatu aparat atau alat untuk mengurung pihak lawan yang berani menentang tanpa perlu pun diseret mereka itu ke muka pengadilan.
Maka tahniah untuk Perdana Menteri kerana berani melanggar adat, dan mendengar suara rakyat, serta tunduk patuh kepada kehendak hati nurani rakyat yang telah sekian lama berteriak dengan air mata darah memohon serta merayu supaya akta-akta drakonian ini dimansuhkan, dan orang tersayang yang terkurung di Kamunting dibebaskan. Terima kasih banyak kerana memberi harapan baru dan rasa menang di hati sekalian pejuang hak asasi manusia.
Namun begitu, Mamu sedikit kecil hati kerana Tuan Perdana Menteri tidak sekali pun menyebut atau memberi kredit kepada mereka yang selama ini berhempas pulas menuntut keadilan ditegakkan dan akta zalim ISA ditongsampahkan. Mungkin Perdana Menteri berasa bahawa hati nurani sendirilah yang memujuk agar undang-undang ini dihapuskan. Mungkin Perdana Menteri segan untuk mengakui bahawa tindakan dan cadangan untuk memansuh ISA ini adalah hasil daripada tekanan dan desakan rakyat jelata yang telah turun ke jalan raya dan mendesak perubahan. Mungkin Perdana Menteri tidak ingin mengulangi episod malam 8 Mac 2008, ketika Barisan Nasional terpana dan terdiam dengan tindakan rakyat menafikan dua pertiga dewan, dan memberikan kemenangan kepada pakatan pembangkang di lima buah negeri.
Ayuhai Perdana Menteri,
Mamu melihat gelagat Tuan Perdana Menteri berucap dengan penuh tekun. Dari warna tali leher, sehingga postur badan pun, Mamu ambil kira untuk menyukat keikhlasan dan kejujuran yang cuba dipertontonkan kepada khalayak umum. Satu perkara yang harus disebut ialah, teleprompter itu sedikit tinggi, dan Najib telah tidak berjaya menggunakan benda alah itu dengan penuh gaya. Hanya Tun Mahathir sahaja setakat ini yang berjaya menggunakan benda itu dengan bergaya seolah-olah beliau tidak langsung membaca teks.
Tuan Perdana Menteri kelihatan begitu kekok dan tertekan. Bahasa badan yang dipertunjukkan memperlihatkan bahawa ayat-ayat yang diucapkan tidak langsung di'raptai' mahupun ditulis sendiri secara ikhlas. Mamu paham, Najib sibuk. Pastilah ada tukang tulis yang membuat kaji selidik tentang maqasid syariah segala, untuk dimuatkan ke dalam ucapan itu. Gaya dan bahasa badan yang begitu kekok dan kaku, telah gagal menarik minat Mamu untuk percaya atau menaruh harapan tinggi kepada isi kandungan ucapan Perdana Menteri.
Dan kemudian, tali leher itu. Kenapalah warna jingga yang dipilih? Mungkin ini terlalu remeh, tetapi memandangkan pihak pakatan pembangkang telah terlebih dahulu mengumumkan kempen Buku Jingga mereka yang antara lain mengandungi agenda memansuhkan ISA dan undang-undang tahan tanpa bicara; maka pemilihan warna tali leher agak lucu dan seakan ironik. Sama keadaannya seperti Ratu Elizabeth memakai baju kuning tatkala menyambut Tuan Perdana Menteri ketika musim perhimpunan Bersih 2.0. Ya, kami telah menonton video dan gambar tragedi tersebut. Wajah Ratu Elizabeth begitu sarkastik. Seolah-oleh mengulang sorak teriak mat saleh di Downing Street, 'Kuning, kuning; Najib pening'.
Walaubagaimanapun, Mamu tetap positif dengan pengumuman yang telah dibuat. Walaupun Mamu turut sedar bahawa ucapan tersebut mempunyai beberapa kaveat atau ayat-ayat manis yang mungkin tidak dapat ditangkap dengan sekali dengar. Maka kelihatanlah di garis masa Twitterjaya, beberapa komen yang membuatkan Mamu geli hati, rupa-rupanya ada udang di sebalik kuey tiaw.
Pengumuman Tuan Perdana Menteri antara lain menyebut tentang niat untuk mengusulkan di Parlimen agar ISA dimansuhkan, namun tidak berapa dapat ditangkap niat untuk memperkenalkan undang-undang baru yang masih lagi bersifat preventif. Sekali dengar, bunyi macam esok juga Kamunting itu tutup, dan tahanannya lepas bebas begitu sahaja. Hakikatnya jauh berbeza. Prosedur untuk memansuhkan undang-undang tersebut akan tetap mengambil masa untuk dibentangkan pula alternatifnya, yang masih lagi belum nampak bayang rupa mahupun konsepnya. Sebelum ISA mahu dimansuh, penggantinya harus digubal dahulu. Maka ISA mansuh dengan peng'gazet'an undang-undang baru. Bukankah begitu?
Itu belum lagi mengambil kira kesan sosial yang telah diakibatkan oleh ISA terhadap masyarakat khususnya bekas tahanan. Mamu menanti di sepanjang ucapan, kalau-kalau ada ucap minta maaf kepada mereka yang telah dizalimi akta itu. Kalau-kalau tahanan politik seperti enam orang ahli Parti Sosialis Malaysia yang ditangkap bawah Ordinan Darurat tempoh hari akan menerima sejambak bunga, bakul berisi kuih muih dan sekeping kad dengan gambar anak kucing comel menyatakan permohonan maaf dari kerajaan Malaysia kerana menjadikan mereka mangsa undang-undang yang melanggar hak asasi. Pegawai-pegawai imigresen yang tempoh hari begitu gembira memuji ISA juga pastilah akan berasa sedih dengan langkah Tuan Perdana Menteri. Mereka juga wajar menerima bakul hadiah atas tindakan yang telah diambil terhadap mereka.
Perdana Menteri yang saya sayangi,
Mamu melihat, ucapan tersebut sebagai ucapan 'public-relations'. Tidak ada sebarang kesan legislatif atau undang-undang yang lahir daripada ucapan tersebut. Sekadar menabur janji politik sepertimana yang biasa dilakukan oleh sekalian ahli politik yang biasanya akan berusaha sedaya upaya untuk kekal berkuasa. Mamu amat memahami keadaan politik Tuan Perdana Menteri sehingga sanggup berucap sedemikian di saat banyak perkara di Malaysia ini dilihat bermasalah.
Malang bagi Perdana Menteri, rakyat tidak muda lupa dengan masalah-masalah yang melanda negara ini. Bahkan, pada tengah malam 16 September 2011, sebuah video nasihat awam telah dilancarkan yang menyeru rakyat supaya mengundi, membuat pilihan bijak, demi mengubati negara yang sedang dilanda masalah. Ucaptamanya dibacakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau sendiri menyebut bahawa negara kita punyai banyak masalah. Rakyat tidak boleh dan tidak akan lupa akan masalah-masalah ini.
Perdana Menteri dalam ucapannya yang begitu hebat, tidak menyentuh masalah-masalah yang menular di kalangan hamba rakyat, marhaen lagi terpinggir. Rakyat barangkali berharap, sepertimana Mamu juga turut berharap, bahawa akan ada pengumuman dari pihak Perdana Menteri tentang masalah-masalah kami itu yang sering dipaparkan oleh media alternatif.
Antara perkara-perkara yang tidak disentuh atau mungkin bakal disentuh ialah, sistem elektoral, daftar plilihanraya yang kotor, korupsi dan integriti, komisyen Scorpene di mahkamah Perancis, skandal Altantuya, harga barang, subsidi petrol, subsidi gula, GST, cukai prepaid 6%, Akta Universiti dan Kolej Universiti, politik perkauman, politik ketakutan, ekstremis kaum, defisit belanjawan, bebanan tol, gaji minima, gaji munasabah, pengundi warga asing, hak berhimpun tanpa diganasi pihak polis, salah laku polis, keganasan polis, rasuah polis, isu murtad, isu kesedaran agama, akhlak terpuji, sekularisme di masjid-masjid, pentadbiran wang zakat, skandal PKFZ, undi pos tentera, penipuan dan rasuah pilihanraya, pengundi hantu, bil elektrik rumah Perdana Menteri, bil air rumah Perdana Menteri yang seakan punya akuarium buat bela ikan paus, PPSMI, isu Malaya tidak pernah dijajah dan beberapa lagi isu yang masih lagi tidak terjawab mahupun dapat diselesaikan dengan sekadar menyebut niat untuk memansuhkan beberapa akta drakonian.
Perdana Menteri,
Rakyat tidak mudah lupa. Namun terima kasihlah untuk usaha murni yang cuba ditunjukkan untuk memenangi hati rakyat.
Rakyat berharap ada tindakan tangkas dari pihak Perdana Menteri untuk melakukan cabinet reshuffle memandangkan dinosaur-dinosaur yang ada sekarang tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru ini nanti. Mungkin Dato Saifuddin Abdullah seorang sahaja yang mampu bertahan dan tersenyum.
Sebelum Mamu mengakhiri warkah ini, izinkan Mamu berpesan sedikit kepada Tuan Perdana Menteri, seperti mana Hosni Mubarak pernah dinasihati oleh Sheikh Al-Sha'rawi suatu ketika dahulu. Videonya boleh di'acces' di Youtube. Beliau berpesan bahawa kekuasaan itu berada di tangan Allah, dan Dia beri kepada siapa sahaja yang Dia mahu. Maka janganlah berkejar kearahnya, dan janganlah berkonspirasi jahat demi mencapainya. Di zaman Nabi Ibrahim, Raja Namrud juga diberikan kuasa oleh Allah, seperti yang termaktub di dalam Al-Quran. Manusia merancang, Allah juga merancang. Maka pada ketikanya Tuan Perdana Menteri menguasi kami, moga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada tuan. Namun apabila ketikanya kami menguasi Tuan, moga Allah membantu Tuan dalam menghadapi kami.

No comments
Post a Comment