Fenomena Aziz Bari: Di mana silapnya?

Muhammad Kamil Abdul Munim

Tidak sukar untuk kita memahami amalan demokrasi di negara ini. Dosa besar dalam amalan demokrasi di Malaysia ialah berkata benar kepada pemimpin. Arak, judi, zina, bukan lagi ‘dosa’.

Budaya ini mengimbau kembali kepercayaan melayu kuno terhadap sultan iaitu sebagai jelmaan tuhan di bumi. Ini jahil dan amalan jahiliyah ini perlu dihapuskan.

Kenyataan Professor Dr Abdul Aziz Bari yang disiarkan di laman berita Malaysiakini telah mencetuskan kemarahan mereka yang jahil tentang peranan sultan sebagai ketua agama Islam berikutan kenyataan Sultan Selangor mengenai pemeriksaan ke atas gereja yang dilakukan oleh JAIS baru baru ini.

Mereka ingin dilihat sebagai Melayu sejati yang mebela ketuanan Melayu walhal tindakan sedemikian boleh dikategorikan sebagai tindakan ‘bodoh’ atau ‘kurang cerdik’ dalam bahasa yang lebih sopan.

Menyamakan titah sultan sebagai titah Tuhan adalah syirik.

Sultan bukan nabi atau malaikat. Mereka ialah manusia biasa yg diciptakan dari setitis air mani sama seperti manusia lain, mempunyai sifat sifat yang dimiliki oleh manusia lain seperti bodoh, pemalas, pelupa, rajin dan sebagainya.

Isu sebenar yang dibangkitkan oleh beliau adalah bagaimana peranan sultan dalam menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka. Tidak ada apa apa yang salah di sisi undang-undang. Bahkan beliau sendiri ialah seorang pakar dalam undang undang perlembagaan. Justeru beliau mempunyai hak untuk bercakap dalam konteks perlembagaan.

Tindakan menggantung beliau sebagai pensyarah adalah permulaan kepada kesilapan. Modus operandi ini sama digunakan oleh British ketika menentang kebangkitan golongan anti penjajah dengan menggantung mayat Tok Janggut dan diusung di sekitar Kota Bharu bagi meberi amaran kepada mereka yang cuba menetang British.

Kini Aziz Bari menjadi simbol amaran kepada ahli akademik yang cuba mendedahkan kebenaran kepada masyarakat maka mereka akan dihukum.

Malangnya situasi ini harus dihentikan secepat mungkin kerana dikhuatiri kesan daripada isu ini boleh meledakkan kemarahan rakyat khususnya di kalangan anak muda kerana penafsiran mereka terhadap institusi diraja sangat kritikal. Risau-risau nanti ada pula gerakan menentang institusi monarki.

Oleh kerana itu, ‘hujah mesti dibalas dengan hujah’. Amalan biasa yang dilakukan di Malaysia adalah ‘hujah dibalas dengan kezaliman’ dan amalan ini harus dihentikan.

Oleh kerana kami berpendidikan, kami benci bila kami diperbodohkan.
Penulis adalah pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments

Powered by Blogger.