Kenyataan Rektor bercanggah: Peguam

SHAH ALAM – Kenyataan Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin dianggap bercanggah dengan isi kandungan surat yang universiti berikan kepada Profesor Dr Abdul Aziz Bari bertarikh 19 Oktober lalu.

Peguam kepada Abdul Aziz, Dr Zulqarnain Lukman berkata, surat itu jelas menyatakan Abdul Aziz digantung tugas dan dilarang memasuki kawasan universiti tersebut.

“Surat itu memberitahu anak guam saya digantung serta-merta dengan bergaji penuh sehingga siasatan selesai dan bukannya dalam tempoh tujuh hari seperti yang dilaporkan akhbar semalam.

“Di dalam surat itu turut memaklumkan di dalam tempoh penggantungan, anak guam saya tidak dibenarkan memasuki premis universiti tanpa kebenaran bertulis daripada Dekan Kulliyah Undang-undang,” katanya.

Zulqarnain berkata, terdapat penegasan yang jelas terhadap larangan-larangan tersebut dalam surat itu.

Dalam kenyataan semalam, UIAM menjelaskan tindakan menggantung tugas Abdul Aziz bukanlah hukuman, tetapi bagi memastikan siasatan terperinci dijalankan berikutan kenyataan beliau berkaitan titah Sultan Selangor mengenai pemeriksaan gereja di Damansara Utama oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 3 Ogos lalu.

Zaleha, dalam kenyataannya, menafikan laporan media dan portal berita bahawa Abdul Aziz tidak dibenarkan masuk ke kawasan UIAM serta berurusan dengan pihak universiti berkenaan.

Katanya, Abdul Aziz digantung tugas selama tujuh hari mulai Rabu lalu, dan dalam tempoh itu, pensyarah tersebut perlu menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan UIAM mengenai kenyataan beliau.

:Abdul Aziz dikehendaki menjawab surat tunjuk sebab itu sebelum jam 4 petang 25 Oktober ini.

Menurut Zulqarnain, tempoh tujuh hari yang dinyatakan Rektor UIA itu adalah merujuk kepada tempoh menjawab surat tunjuk sebab, bukan tempoh penggantungan. :

“Tempoh penggantungan tidak ditetapkan, ertinya (penggantungan itu) sepanjang yang mungkin selagi tidak ditamatkan secara rasmi oleh UIAM,” katanya.

Beliau berkata, anak guamnya turut memohon pihak pengurusan UIAM tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain yang membingungkan masyarakat.

“Setakat ini anak guam saya tidak menerima apa-apa notis yang memberitahu ada perubahan tentang perkara ini. Jika benar ada perubahan pihak universiti perlu mengeluarkan notis baru dan membatalkan kandungan notis yang bertarikh 19 Oktober itu,” katanya.

Tambah beliau, surat tunjuk sebab daripada anak guamnya akan dihantar pada Isnin atau selewatnya pagi Selasa.

No comments

Powered by Blogger.