Isu saman Umno Pulau Pinang: Keadilandaily pertahan laporan

(Oleh: Rusnizam Mahat)

KUALA LUMPUR 25 Okt: Akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan dan laman web, Keadilandaily mempertahankan kredibiliti laporannya bertajuk ‘Nafi terlibat demo ganas, Pengerusi Umno Pulau Pinang berbohong- Guan Eng’ yang disiarkan Julai lalu.

Bercakap kepada Keadilandaily, Ketua Pengarangnya, Fazallah Pit mengesahkan pihaknya menerima surat tuntutan saman daripada Jahaberdeen & Co, mewakili Umno Pulau Pinang, pada 20 Oktober lalu.

Fazallah berkata, pihaknya mempertahankan kredibiliti laporan berkenaan yang memetik kenyataan media yang dikeluarkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bertarikh 3 Julai 2011.

“Saya bagi pihak Suara Keadilan dan Keadilandaily mempertahankan laporan yang disiarkan berdasarkan kenyataan media yang dibuat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Laporan itu hanya menyiarkan apa yang diperkatakan oleh Guan Eng dan kami menegaskan ia dari sumber yang betul.

“Justeru kami juga sudah bersedia menghadapi apa juga kemungkinan, termasuk mempertahankan kredibiliti laporan yang kami siarkan di mahkamah,” ujarnya.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman memfailkan saman malu berjumlah RM30 juta terhadap Guan Eng berhubung kenyataannya mengaitkan Umno dengan demonstrasi dan cubaan membakar ibu pejabat DAP di Pulau Pinang.

Selain Lim yang juga Setiausaha Dap, turut dinamakan sebagai defendan ialah KEADILAN selaku pemilik laman berita elektronik Keadilan Daily dan akhbar Suara Keadilan; Segmen Fleksibel Sdn Bhd yang juga syarikat penerbitan Keadilan Daily dan Suara Keadilan serta ketua penyutingnya, Fazallah Pit.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Zainal Abidin mendakwa pada 3 Julai lalu, Lim menerbitkan satu kenyataan akhbar melalui emel yang kemudiannya disiarkan di Keadilan Daily pada 3 Julai dan di akhbar Suara Keadilan pada 5 Julai lalu.

Zainal berkata, kenyataan Lim itu antara lain membawa maksud kononnya beliau terbabit dalam kegiatan mengguling Ketua Menteri Pulau Pinang melalui cara yang salah serta menyembunyikan pembabitannya dalam satu demonstrasi ganas yang berlaku di Komtar dan Jambatan Pulau Pinang, 1 Julai lalu.

No comments

Powered by Blogger.