Usia 60 tahun PAS – Pengalaman di Kelantan

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-60 Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Sejarah penubuhannya dicatatkan Funston (1980) ialah bermula dengan penubuhan Persatuan Ulama Malaya tahun 1951. Diikuti dengan Persatuan Islam Se-Malaya berikutan para pemimpinnya melalui proses saringan liku-liku perjuangan menerusi parti kebangsaan (bersama Umno), reformis agama (menggerakkan Hisbul Muslimin) dan mirip sosialis (mantan Parti Kebangsaan Melayu Malaya). Selepas itu PAS telah berkembang sebagai parti kebangsaan Islam menuntut kemerdekaan dan seterusnya menyertai pilihan raya 1955 dan menguasai kerajaan di Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya pertama pasca merdeka 1959.

Sejarah bertapak dan berkembangnya PAS di Kelantan telah dicatat oleh Amaluddin Darus (1977) adalah hasil daripada majlis penerangan di surau-surau dan menemui guru-guru agama di pusat pengajian pondok sekitar Pasir Mas dan Tanah Merah. Hasilnya, cawangan PAS pertama berjaya ditubuhkan ialah di Pasir Mas pada Julai 1953. Enam tahun selepas itu, iaitu PAS di Kelantan berkongsi dengan PAS di Terengganu telah mencapai kemenangan sulung pada pilihan raya pertama pasca merdeka 1959.

Mengimbau kemenangan

Ia merupakan kemenangan fasa pertama PAS di Kelantan yang bertahan selama 12 tahun, sebelum bersama Kerajaan Campuran tahun 1971 dan menyertai Barisan Nasional mulai tahun 1974 sehingga ‘didaruratkan’ dan tewas dalam pilihan raya khas pada Mac 1978.

Sebenarnya, saat kemenangan PAS di Kelantan adalah berbeza dengan di Terengganu. Tatkala PAS di Terengganu hanya bertahan 1959 sehingga 1961 sahaja. Menurut Mohd Asri (1993) Kecundang di Terenggani disebabkan tindakan undi tidak percaya pihak UMNO setelah Adun PAS menyertai UMNO tahun 1961. Hal ini tidak berlaku di Kelantan, meskipun ada usaha Umno pada 1968 yang dikenali dengan rancangan turn about-about turn. Namun ia gagal kerana tidak berlaku Adun PAS yang menyokong usul undi tidak percaya dari pihak UMNO. Ia membuktikan wakil rakyat PAS di Kelantan mempunyai keutuhan yang jitu terhadap perjuangan parti. Nilai keutuhan ini masih kekal ke hari ini.

Justeru mengimbau sejarah itu, pilihan raya 1959 PAS di Kelantan menyaksikan kemenangan 28 daripada 30 kerusi Dun. Bermulalah pemerintahan PAS di Kelantan. Justeru, menurut Badlihisham (1999) ia membuktikan PAS telah menjadi parti dominan di Kelantan sehingga kini. Meskipun sebelum 1990, PAS melalui fasa kekalahan sebelum bangkit semula dan terus mantap sampai kini berusia 60 tahun.

Fasa terulung

Berasaskan nilai keutuhan ini, rancangan UMNO untuk menggulingkan pemerintahan PAS di Kelantan terus hidup setiap kali pilihan raya. Ia bermula dengan konspirasi perintah darurat pada 8 November 1977. Sehinggalah pada Mac 1978 Umno yang bersekongkol dengan Berjasa telah berjaya merampas Kelantan dari tangan PAS. Berakhirlah fasa pertama kerajaan PAS di Kelantan.

Namun, selepas pergolakan UMNO tahun 1987 telah menyebabkan tertubuhnya parti Semangat 46 di bawah pimpinan Tengku Razaleigh dan kemudian ditubuhkan pula kerjasama parti pembangkang Melayu dinamai Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Melalui kerjasama ini, PAS bersama-sama Angkatan berjaya dalam pilihan raya umum 1990 kembali semula berkuasa di Kelantan dengan memenangi kesemua 39 kerusi yang dipertandingkan. Hasil kemenangan itu, PAS memasuki fasa kedua kemenangan dengan mendapat mandat penuh rakyat memerintah Kelantan.

Nama ulung di Kelantan

Kini, dalam usia 60 tahun, PAS di Kelantan pula mencapai usia 58 (sejak 1953-2011). Satu seumur yang sudah mencapai edah usia emas. Sewajarnya PAS di Kelantan berjaya melahir ramai tokoh pemimpin dan perjuang Islam terulung di Malaysia. Bermula dengan Amaludin Darus (1960-an) sebagai pengasas, diikuti dengan Mohd Asri Muda (1970 dan 1980-an) dan kini yang terulung ialah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (sejak 1990-2011) mantan Ketua Ulama Pusat dan kini Al-Mursyidul Am.

Justeru menelusuri nama-nama terulung itu, kini PAS berjaya melalui kerjasama politik daripada Kerajaan Campuran dan Barisan Nasional (1970-an), Angkatan Perpaduan Ummah (1990-an), Barisana Alternatif (1999-2008) dan kerjasama Pakatan Rakyat yang diasaskan selepas memenangi pilihan raya Mac 2008. Laiku-liku Pakatan Rakyat adalah lebih mencabar, lebih-lebih lagi bagi PAS di Kelantan.
Pengalaman fasa kedua PAS di Kelantan adalah sarat dengan peristiwa ‘berkerajaan’ dengan penuh mencabar. Ia cukup mematangkan nilai perjuangan Islam dibawa dan dipersembahkan secara Kerajaan Negeri. Bergerak dengan tema Membangun Bersama Islam, sudah membuktikan kemantapan sokongan rakyat Kelantan begitu komited mahukan Islam menjadi teras politik. Ia serasi dengan jolokan Negeri Serambi Mekah.

Maka PAS di Kelantan terus utuh ‘mencipta kemenangan dan menerajui perubahan’ yang boleh dikongsi bersama oleh semua PAS di negeri-negeri lain. Kini sudah 21 tahun Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar yang terus segar mengulungkan seri perjuangan dengan rupa dan bau harmoni. Harapannya, pasca 60 tahun PAS ini, Kelantan kekal utuh dengan sistem politik dan pentadbrian Islam.

http://greencresent-wanibrah.blogspot.com/2011/10/usia-60-tahun-pas-pengalaman-di.html

No comments

Powered by Blogger.