Bajet pilihan raya: BN beri rakyat ikan, bukan kail

Oleh MAT ZAIN MAT ISA

INGAT lagi apa komen Dato’ Seri Najib Razak tatkala parti pembangkang berjanji akan menurunkan harga minyak dalam pasaran tempatan sekiranya Pakatan Rakyat diberi peluang memerintah negara dalam pilihan raya umum lalu?

Dalam salah satu reaksinya pada awal 2008, Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri mendakwa negara akan bankrap sekiranya subsidi ditambah bagi menurunkan harga minyak. Beliau malah menganggap cadangan pembangkang itu sebagai tindakan yang ‘tidak masuk akal’.

Langkah itu juga, menurut Najib, bakal menyulitkan kerajaan melaksanakan pembangunan negara, termasuk menyediakan pelbagai kemudahan awam diperlukan rakyat.

Bagi menambahkan persepsi negatif terhadap cadangan pembangkang itu, digambarkan pula tabiat bergantung harap kepada subsidi sebagai kebiasaan buruk yang merugikan negara dan tidak wajar diteruskan. Ia tidak membentuk warga negara yang berdaya saing. Rakyat yang dimanjakan dengan subsidi dan berbagai insentif kerajaan didakwa akan malas berusaha keras untuk kemajuan dalam hidup.

Seperti lazimnya dalam budaya BN, apabila ‘kepala kereta api’ berpandangan sedemikian, seluruh gerabak akan mengikut dengan taat.

Hujah itu segera diratib dan dipanjangkan segenap rank-andfile BN.

Pelbagai rasional dan alasan dikemukakan yang kesemuanya menjurus kepada mewajarkan usaha kerajaan menghapus atau sekurang-kurangnya memotong pembiayaan subsidi ke atas sebilangan barangan keperluan rakyat, terutama bahan bakar.

Gambaran positif itu diuaruarkan lagi oleh seluruh saluran media arus perdana yang sememangnya menjadi talibarut BN.

Pada masa sama, para penggiat ekonomi, ahli akademik dan individu terhormat senada seirama menyokong tindakan BN. Mereka menganggap usaha mengurang atau menghapuskan subsidi amat baik, terutama dalam konteks mendidik rakyat menjadi warga yang berdikari dan berdaya saing. Tabiat mengharapkan subsidi dan insentif kerajaan dikecam dan diberikan persepsi serong.

Amat mengejutkan dalam keadaan rakyat belum begitu lupa terhadap nilai positif yang kononnya cuba disemai oleh BN itu, perkara sebaliknya pula dibawa parti pemerintah itu minggu lalu. Pembentangan Belanjawan 2012 oleh Najib secara zahirnya disifatkan banyak pihak sebagai menjamu rakyat dengan taburan wang tunai.

Antaranya, pemberian tunai secara one-off berjumlah RM500 kepada setiap keluarga dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, bantuan tunai RM100 kepada setiap pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Lima, serta RM200 baucer buku untuk pelajar Tingkatan Enam dan institusi pengajian tinggi.

Turut diumumkan ialah pemberian tunai RM3,000 untuk bekas perajurit atau balu mereka, juga untuk ribuan bekas kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Manakala kalangan penjawat awam turut dihadiahkan bonus setengah bulan gaji atau minima RM500, selain kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320.

Kemurahan hati kerajaan mencurahkan habuan sedemikian sudah tentu disambut baik khalayak terbabit. Namun harus diingat ia juga bakal menghasilkan suasana ekonomi yang ‘berat sebelah’ terutama kepada golongan yang tidak terlibat dengan mana-mana kelompok disenaraikan di atas.

Limpahan tunai di kalangan rakyat akan menggalakkan perbelanjaan. Ia sekali gus meningkatkan permintaan dalam pasaran. Kejutan itu menyebabkan permintaan jauh mengatasi bekalan, yang sekali gus akan menggalakkan kenaikan harga.

Satu kesan lain, lambakan insentif menerusi belanjawan itu juga menyalahi apa yang sebelum ini dicanangkan BN sendiri.

Cakap berdegar-degar sebelum ini kononnya kerajaan mahu mendidik rakyat lebih bertanggungjawab, tidak bergantung harap kepada habuan kerajaan seolah-olah hanya cakap kosong.

Para pemimpin BN seolaholah terlupa pernah melaunglaungkan falsafah, “kita beri kail, tak beri ikan.” Kononnya, sekiranya diberi ikan, rakyat akan hanya boleh menikmatinya untuk sementara waktu.

Tetapi jika diberi kail, dalam erti kata diberi kemahiran dan galakan mencari rezeki sendiri, maka rakyat akan menikmati pendapatan berterusan. Ia bukan sahaja mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan, tetapi juga membentuk rakyat yang berdikari dan jayadiri.

Sewaktu melontarkan idea yang digambarkan sangat motivatif itu BN nampak benarbenar mahu mengikis mentaliti subsidi atau mengharapkan disuap kerajaan dengan jamuan kebendaan.

Kononnya tabiat itu boleh membankrapkan negara. Malang sekali, belanjawan negara yang secara jelas menyaksikan taburan wang tunai sebegitu dahsyat memusnahkan cakap penuh berwawasan dan hebat tadi. Yang diberi BN kepada rakyat bukannya kail, tetapi ikan. Sekali lagi BN membuktikan mereka ‘bikin tak serupa cakap’

No comments

Powered by Blogger.