Gantung Aziz Bari tindakan UIA paling tidak tamadun, kata Dr Asri

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang kini mengikuti program felo di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) menyifatkan tindakan pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung perkhidmatan Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai “satu tindakan paling tidak bertamadun dalam dunia akademik.”

“Saya membaca berita penggantungan Prof Dr Aziz Bari. Bagi saya itu adalah satu tindakan yang paling tidak bertamadun dalam dunia akademik.

“Ternyata perlantikan ‘kepimpinan baru di UIA’ itu tidak melambang ketokohan akademik, tetapi lebih kepada nilai-nilai politik,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Bekas penuntut UIA berkata, kepimpinan pusat pengajian tinggi itu sekarang tidak di bawah orang yang terbilang dari segi pemikiran dan dunia ilmu, sebaliknya orang yang berpotensi melakukan tindakan yang melambangkan kejumudan fikiran yang bertentangan dengan norma dunia akademik.

Tambah beliau, tindakan ke atas Aziz merupakan “sesuatu yang amat memalukan dunia akademik kita.” “Tindakan ini tiada asas ilmu sama sekali sebab dalam dunia ilmu setiap orang berhak berbicara atas asas fakta dan ijtihad. Tindakan ini adalah tindakan mengampu,” kata beliau lagi.

Asri yang juga tenaga akademik Universiti Sains Malaysia menambah, “setahu saya rektor UIA sekarang merupakan ahli MAIS (Majlis Agama Islam Selangor).”

“Saya bimbang ada kepentingan konflik dalam tindakan terhadap Prof Aziz,” kata beliau sambil menambah, Malaysia hanya mencampak diri ke zaman kegelapan Katolik yang membakar tokoh-tokoh akademik protestan atas tuduhan derhaka kepada istana dan heresy kepada agama.”

Katanya, sebagai lepasan UIA, beliau rasa telah berlaku kesilapan besar dalam pengurusan akademik di universiti itu hari ini.

“UIA yang patut bertaraf pusat pendidikan dunia, telah bertukar menjadi pejabat agama yang penuh kesempitan fikiran,” tambah beliau.

No comments

Powered by Blogger.