Belanjawan dan belanja minum kopi

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT

TANPA mengulas butiran terperinci Belajawan 2012, tak ramai yang tak nampak bajet kali ini berlainan sedikit daripada yang lazimnya. Kata orang dulu-dulu, ini bajet pilihan raya (umum).

Betullah tu. Tapi, walaupun slogan Umno kekal ‘dulu, kini dan selamanya’ (menyadur daripada tagline iklan satu jenama popular minuman berkabonat), strategi basi kerajaan Umno-BN menggulagulakan rakyat dengan memansuhkan itu dan ini hanyalah tidak lebih dari nostalgia zaman ‘dulu’.

‘Kini’ seluruh percaturan mengambil hati rakyat sudah berubah sepenuhnya. Yang tidak berubah hanyalah mentaliti kuno Umno-BN dengan kecenderungan mutlak untuk kekal ‘selamanya’.

Tentu ramai masih ingat retorik ‘reformasi’ Umno pasca Mac 2008. Tapi sebagaimana lazim, retorik tetap retorik. Tidak ada yang direformasikan dan tidak ada apa yang berubah.

Modus operandi Umno-BN dalam konteks bajet menjelang pilihan raya umum adalah mudah dan tak pernah mengalami sebarang perubahan.

Dilihat sebagai senjata ampuh untuk mengubah pendapat umum dan dengan bantuan sorak sorai media mereka, minda barisan pemimpin Umno-BN dijajarkan dalam kesepakatan jitu betapa hanya inilah satu-satunya ikhtiar untuk memenangi pilihan raya umum.

Kali ini bagi menunjukkan betapa prihatinnya kerajaan Umno-BN terhadap penderitaan yang ditanggung oleh rakyat ialah memansuhkan yuran persekolahan. Kalau nak hapuskan duti import ke atas barangan kemas berasaskan berlian tentu tak guna sebab tak ramai rakyat yang mampu membelinya.

Kalau adapun, cuma mereka yang mahu mendirikan rumah tangga dan membeli perkakas berlian di antara 0.03 hingga 0.20 karat.

Yang boleh cincin berlian 1-10 atau 15 karat lagi tidak ramai. Dan yang mampu dan paling penting sanggup membazirkan wang tanpa ada rasa bersalah pada diri-sendiri untuk membeli cincin berlian 65 karat hanyalah seorang sahaja.

Justeru, pemansuhan duti seperti ini tidak akan memberi kesan dalam usaha mengubah pendapat umum kerana mereka yang terlibat hanyalah segelintir sahaja.

Cara terbaik, menurut hemat pemimpin Umno-BN dalam kerajaan ialah menggula-gulakan rakyat dengan memansuhkan sesuatu melibatkan jumlah besar rakyat.

Maka menerusi Bajet 2011 ini kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan bangganya mengumumkan pemansuhan yuran persekolahan, pemberikan wang tunai RM100 untuk setiap anak yang bersekolah dan baucer buku untuk pelajar universiti.

Selain daripada itu ada juga bonus setengah bulan untuk kakitangan awam. (Kesian mereka, apa salahnya sesekali bagi dua bulan bonus terus?) Ada juga pemberian one-off sebanyak RM500 kepada keluarga yang berpendapatan kurang RM3,000. (Kenapa pemberian one-off dan bukan bantuan bulanan?)

Apa pun pada perkiraan Najib pemberian yang diumumkan dalam Bajet 2011 ini sudah tentu dapat sedikit sebanyak mengambil hati rakyat.

Namun beliau lupa, isu yang dihadapi oleh Umno-BN dalam pilihan raya umum yang bakal menjelang ini bukan sekadar ekonomi membabitkan rakyat secara langsung, tetapi melibatkan banyak-banyak isu-isu lain.

Sekiranya Najib dan pemimpin Umno-BN lain serta para profesor dan ahli perancang pilihan raya mereka membaca semua jenis tulisan di internet menjelang pilihan raya umum lalu dan masih ingat akan isi kandungannya, hanya sedikit sahaja kritikan dan cemuhan yang dihalakan ke atas Umno-BN, rata-rata kritikan dan cemuhan serta rasa tidak-puas hati rakyat dihalakan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.

Untuk pilihan raya umum akan datang yang membabitkan Najib ini, rasa tidak puas hati dan marah rakyat bukanlah sekadar terhadap Perdana Menteri tetapi juga terhadap isteri dan terhadap Umno-BN dan merangkumi isu-isu besar yang tidak wujud di zaman Abdullah dan tidak pernah dijadikan sebagai modal kempen pilihan raya oleh parti oposisi. Selain daripada itu rakyat juga marah kepada pemimpin Umno dan MCA atas pelbagai isu.

Justeru, sekiranya dalam Bajet 2011 ini Najib mengumumkan pemberian wang tunai one-off hatta RM1 juta sekalipun, rakyat mungkin menerimanya dengan segala senang hati. Tetapi untuk mengundi BN, belum tentu lagi.

Masalah kesempitan ekonomi yang ditanggung oleh rakyat tak boleh dihapus atau dimansuhkan dengan pemansuhan yuran, pemberian one-off RM500 dan sebagainya. Apa yang perlu dilakukan adalah jauh daripada itu.

Seluruh pentadbiran perlu overhaul dan rakyat tahu Umno- BN tidak bersedia melakukan hal tersebut. Oleh itu apa yang Najib berikan kepada rakyat dalam Bajet 2011 ini adalah ibarat membelanja mereka secara kopi di warung tepi jalan.

No comments

Powered by Blogger.