Wahai Pemimpin! Bebankah Warga Emas Bagi Kalian?

KPWKM Kemuka Cadangan Ambil Warga Emas Bekerja - Shahrizat

SUNGAI PETANI: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengemukakan cadangan untuk dimasukkan dalam belanjawan yang akan dibentangkan Jumaat ini supaya pihak swasta berminat mengambil warga emas bekerja.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kementeriannya turut mengemukakan beberapa cadangan bagi meningkatkan keberkesanan penyaluran bantuan kepada golongan kurang bernasib baik seperti orang miskin dan kurang upaya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Warga Emas 2011 peringkat kebangsaan di Kompleks Penyayang Kuala Muda di sini hari ini, beliau berkata pihaknya juga menemui syarikat-syarikat tertentu antaranya Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) supaya mengambil warga emas menjadi jurutol.

"Mulai tahun lepas syarikat swasta yang mengambil warga emas bekerja diberi potongan cukai 10 peratus bagaimanapun tidak mendapat sambutan memuaskan atau mungkin kerana tidak diketahui.

"Saya harap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan mengumumkan sesuatu yang menarik minat mereka untuk menggaji warga emas selain beberapa inisiatif baru untuk golongan kurang bernasib baik termasuk warga emas dalam belanjawan yang akan dibentangkannya," kata Shahrizat.

Ketika berucap sebelum itu, Shahrizat berkata rakyat khususnya golongan warga emas hanya boleh menikmati hidup dengan aman sekiranya segala keperluan mereka pada hari tua disediakan secukupnya oleh kerajaan.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) cukup prihatin kita bukan menabur janji. Kemudahan perubatan, bantuan kepada golongan miskin dan warga emas, orang kurang upaya, rumah perlindungan kanak-kanak dan wanita, semuanya disediakan.

"Selagi BN memerintah kebajikan golongan ini akan terus terpelihara," katanya. Beliau berkata kerajaan mahu masyarakat menjadi rakan kongsi pintar KPWKM supaya peruntukan besar RM1.4 bilion di bawah program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau Karisma untuk membantu golongan sasar tahun ini mencapai matlamat.

Shahrizat berkata daripada jumlah itu, RM433 juta disalurkan kepada 120,496 warga emas yang menerima bantuan RM300 sebulan. "Untuk Kedah sahaja kita belanjakan RM68 juta membantu hampir 41,000 penerima bantuan tahun ini inilah kebajikan kerajaan BN. Kerajaan PAS Kedah pula belanjakan RM8 juta sahaja ke atas 8,000 penerima.

"Hari ini saya serahkan sumbangan di bawah Skim Insurans 1Azam berjumlah RM270,000 kepada ketua isi rumah manakala di Padang Serai selepas ini kita akan beri bantuan berjumlah RM6.1 juta kepada 1,212 penerima," kata Shahrizat.

Pada majlis itu juga beliau menyerahkan Anugerah Sukarelawan Warga Emas kepada 14 penerima.

Hadiah berupa wang tunai RM1,000 sumbangan Yayasan Kebajikan Negara, sepersalinan baju sumbangan Jakel Trading Sdn Bhd, sepasang subang mutiara sumbangan Habib Jewel dan sijil penghargaan. -BERNAMA

Sumber: Mstar online – 2 oktober 2011

Wahai pemimpin! Bebankah warga emas bagi kalian?


RM 300 untuk sebulan! ‘Amat besar’ bantuan kerajaan dan inilah yang mereka banggakan dan canangkan bagi menunjukkan ‘keprihatinan’ BN berbanding yang lain. Jangan pelik kerana inilah natijahnya menganut kejijikan ekonomi kapitalisme. Bagi kerajaan, ini merupakan jaminan pemenuhan keperluan primer kononnya, sedangkan apalah sangat yang boleh dibelanjakan dengan wang sebanyak itu? Fikir secara rasional, sewa rumah + makan minum sebulan + pakaian, cukupkah dengan wang sebanyak itu? Belum lagi dimasukkan kos kesihatan dan pendidikan anak-anak.

Letih dengan memberi bantuan, dengan alasan untuk mewujudkan rakyat berdikari menuju status negara maju, kini warga emas pula disuruh ambil bekerja oleh pihak swasta dengan insentif pengurangan cukai. Bertambah pelik, mengapa bukan pihak kerajaan yang memberi mereka pekerjaan? Memang tidak salah, bagi mereka yang masih mampu bekerja walaupun di usia emas untuk terus bekerja. Tetapi, jika memang tidak mampu, bagaimana?

Sewajibnya orang yang tidak mampu bekerja dijamin kesejahteraannya oleh negara sehingga tidak memerlukan wang pencen, bonus mahupun pampasan-pampasan lain. Maka, memenuhi keperluan primer (makan, pakaian dan tempat tinggal) bagi setiap orang yang tidak mampu bukanlah tanggungjawab majikan atau pihak swasta. Begitu juga dengan jaminan kesihatan, pendidikan dan sebagainya bukan tanggungjawab majikan seperti yang diamalkan oleh sistem kapitalisme masa kini. Tentu sakit kepala dan sakit hati, tok dan nenek dengar cadangan mak menteri, Shahrizat. Ingatlah pesan Rasulullah SAW:

“Siapa sahaja yang membuat mudharat (celaka) orang lain, maka Allah akan membuat celaka kepadanya. Dan siapa sahaja yang membuat orang lain susah, maka Allah akan membuat orang itu susah.” [HR Ibnu Majah, Abu Daud, Tirmizi, Nasa’i dan Ahmad dari Abi Shirmah]

Justeru itu, apa penyelesaiannya wahai pembaca sekalian?
Tentulah politik ekonomi Islam! Mari telusuri bagaimana Islam melalui aturan Allah yang Maha Pencipta, menjamin keperluan primer setiap insan bernyawa termasuklah anak di dalam kandungan ibunya. Subnahanallah!! Nikmat Allah yang tidak dapat didustakan.

1. Tanggungjawab lelaki yang mejadi suami, ayah atau wali kepada wanita, anak-anak serta kedua ibu bapa yang memerlukannya. Buktinya Al-Baqarah: 223, An-Nisa’: 5, At-Thalaq: 6, Al-Baqarah: 83. Maka, menjadi tanggungjawab pemerintah memastikan lelaki berkenaan menjalankan perintah Allah ini, jika tidak pasti ada hukumannya.

2. Seterusnya, jika yang dinyatakan di atas sudah tiada, tanggungjawab memberi nafkah beralih kepada lelaki yang menjadi waris atau kerabat terdekat yang mempunyai lebihan harta. Negara akan memastikan hal ini berlaku. Ini bertepatan sabda Rasulullah SAW:
“Mulailah pemberian nafkah itu dari orang yang menjadi tanggunganmu: ibumu, ayahmu, saudara perempuanmu, saudara lelakimu, kemudian keluarga terdekatmu. [HR Nasa’i dari Thariq al-Muharabi]

3. Akhirnya, jika tiada seorang pun yang berkewajipan memberi nafkah kepadanya, maka syara’ mewajibkan nafkah diambil dari Baitul Mal milik negara. Lihat apa yang dilakukan Rasulullah tatkala menjadi pemimpin negara,

Dari Abu Hurairah, dia berkata: Sabda Baginda SAW: “Siapa sahaja yang mati meninggalkan orang yang sebatang kara, maka dia menjadi tanggunganku. Dan siapa sahaja yang meninggalkan harta, maka ia menjadi hak ahli warisnya.” [HR Bukhari, Muslim dan Abu Daud]

No comments

Powered by Blogger.