Prof Aziz Bari dipanggil polis, disiasat bawah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR, 19 Okt — Profesor Dr Abdul Aziz Bari dipanggil untuk memberi kenyataan kepada polis berkaitan pandangan beliau tentang titah Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama baru-baru ini.

Aziz yang dihubungi memberitahu bahawa beliau telah dihubungi polis Shah Alam semalam dan diminta untuk hadir memberi kenyataan berhubung isu tersebut di bawah Akta Hasutan.

“Saya ada dipanggil polis semalam, mereka mahu menyiasat saya di bawah Akta Hasutan . . . saya akan pergi bersama peguam saya hari ini,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa ini kepada The Malaysian Insider.

Kelmarin beliau diambil kenyataan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia berhubung isu yang sama ekoran satu laporan yang telah dibuat Jumaat lalu.

Minggu lalu, beberapa pihak membuat laporan ke atas Aziz.

Antaranya, Senator Ezam Mohd Nor menggesa agar portal berita MalaysiaKini dan Aziz disiasat dibawah Akta Hasutan 1948 atas alasan mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama.

“Aziz Bari telah berlaku biadap dan derhaka kepada Institusi Raja Melayu dengan menghasut orang ramai untuk membenci institusi Raja-raja Melayu.

“Kenyataan Aziz ini dikeluarkan oleh laman portal MalaysiaKini,” kata Ezam selepas membuat laporan polis di Shah Alam.

Katanya, Aziz dan MalaysiaKini menunjukkan sikap biadap, kurang ajar, dan melampaui batas yang dipercayainya perbuatan terancang dan mempunyai agenda jahat disebaliknya.

Aziz dipetik berkata tindakan Sultan Selangor untuk campur tangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja itu bukan sesuatu tindakan yang biasa terjadi.

Menurutnya, sebagai ketua agama Islam di negeri itu, baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ini perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Beberapa Ahli Parlimen juga membidas Aziz kerana kenyataannya ketika menyertai perbahasan di Dewan Rakyat.

No comments

Powered by Blogger.