Tiga akhbar minta maaf kepada Kalimulah

KUALA LUMPUR, 23 Okt — Tiga akhbar terbitan Kumpulan Utusan dan New Straits Times Press (NSTP) Berhad hari ini memohon maaf kepada Pengerusi ECM Libra Financial Group Berhad Datuk Seri Kalimullah Hassan berhubung penyiaran artikel mengenai majlis makan malam individu-individu tertentu dengan ahli politik Singapura.

Tiga akhbar yang berbuat demikian ialah Berita Minggu dan New Sunday Times keluaran NSTP dan Mingguan Malaysia yang diterbitkan Kumpulan Utusan.

Dalam kenyataan disiarkan hari ini, Berita Minggu berkata pihaknya memohon maaf kepada Kalimullah berhubung penyiaran artikel yang menyebabkan kesedihan dan kesusahan terhadap beliau, keluarga dan rakan perniagaannya.

“Akhbar ini mengakui laporan berkenaan yang memetik Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kassim, adalah tidak berasas dan Berita Minggu sebagai media bertanggungjawab, sepatutnya melakukan usaha mengesahkan laporan itu sebelum menyiarkan artikel itu.

“Justeru, pada masa akan datang, akhbar ini tidak akan menyiarkan sebarang artikel mengenai dakwaan berkaitan isu ini yang membabitkan Kalimullah tanpa melakukan pengesahan lebih awal,” kata akhbar itu.

Akhbar edisi Ahad ini menambah, Kalimullah yang menerima permohonan maaf dalam reaksinya berkata, laporan yang mendakwa beliau berkemungkinan terbabit menganjurkan makan malam dengan beberapa pemimpin kanan PAP dan membocorkan rahsia adalah satu fitnah serta mempersoalkan kesetiaannya sebagai rakyat Malaysia.

“Tiada apa yang salah atau menyalahi undang-undang mengenai perbuatan makan malam dengan pemimpin PAP atau mana-mana ahli politik lain. Sepanjang tempoh kerjaya saya sebagai wartawan dan ahli perniagaan, saya sudah bertemu dan makan malam bersama dengan pemimpin kanan kerajaan pelbagai negara seperti mana rakyat Malaysia lainnya. Saya juga masih berkawan dengan ramai kenalan dan kekal berhubung sehingga kini.

“Untuk membuat sebarang kesimpulan bagi motif pertemuan ini, selain perniagaan dan persahabatan peribadi adalah hasil minda tidak aktif dan kecil yang bertujuan mempersoalkan profesionalisme dan kesetiaan saya sebagai rakyat Malaysia dan satu cubaan untuk memburukkan dan mencemarkan nama baik serta reputasi saya.

“Saya berasa kesal kerana Berita Minggu yang pernah di bawah saya selaku Ketua Pengarang Kumpulan dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarahnya sehingga 2008, boleh menyiarkan laporan itu dengan hanya bersandar kenyataan tidak berasas itu.

“Paling kurang pun, mereka sepatutnya memeriksa fakta berkenaan dan menghubungi saya sebelum menyiarkan artikel itu sejajar amalan kewartawanan beretika,” kata Kalimullah dalam kenyataan dipetik Berita Minggu di muka surat tiga.

Mingguan Malaysia juga berkata Kalimullah menerima penyataan maaf pihaknya.

Dalam laporan di muka 19 hari ini, Mingguan Malaysia melaporkan Kalimullah juga menafikan dakwaan yang dibuat oleh Ruslan bahawa ahli perniagaan Datuk Azman Yahya dan beliau telah bertemu dengan Presiden Kita Datuk Zaid Ibrahim meminta beliau supaya tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan isu pembelian saham E&0 Berhad oleh Sime Darby Berhad dan juga pertukaran saham antara AirAsia dan Malaysia Airlines.

No comments

Powered by Blogger.