Piala Malaysia: Harga RM50 kekal, FAM tak layan desakan

KUALA LUMPUR, 26 Okt — Sekalipun berdepan dengan banyak bantahan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak berganjak dari keputusannya menetapkan harga tiket RM50 bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Setiausaha Kehormat FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, berkata pihaknya tidak bercadang menurunkan harga tiket kerana selepas kajian, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan mendapati harga tiket itu adalah wajar.

“Harga tiket itu dianggap wajar kerana FAM terpaksa menanggung beberapa kos termasuk bayaran kepada pihak stadium, keselamatan dan beberapa faktor lain,” katanya dipetik Bernama Online.

Mengulas permintaan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek supaya FAM mengkaji semula harga tiket tersebut, beliau berkata FAM menghormati permintaan itu namun FAM tidak akan berganjak dari keputusan asal.

Ketika menggesa demikian semalam, Ahmad Shabery berkata harga tiket itu membebankan peminat dan rakyat.

Para penyokong kedua-dua pasukan turut membantah harga tiket itu bagi semua tempat duduk stadium.

Beliau berkata Malaysia adalah sebuah negara demokrasi di mana penyokong bebas memilih untuk memulau perlawanan akhir nanti dan FAM tidak mempunyai sebarang kuasa bagi menyekat keputusan mereka itu.

Sementara itu, Kelab penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) turut membidas kenaikan harga tiket secara mendadak itu.

Setiausaha Peteh, Wan Mohd Azmi Wan Ngah, berkata tindakan FAM disifatkan tidak profesional dan menyentap semangat penonton yang datang dari jauh bagi menyokong pasukan kesayangan.

“Rata-rata penyokong bukannya dari golongan berada dan RM50 adalah jumlah yang besar buat kami,” kata beliau.

Wan Mohd Azmi turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu kerana prihatin memberi subsidi 30,000 tiket dengan harga RM25, namun jumlah tersebut masih belum mencukupi.

Pada musim lepas, harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia dijual pada harga RM30 untuk tempat duduk biasa dan RM50 bagi tempat duduk “grandstand”.

No comments

Powered by Blogger.