News Update :

Pencerobohan Di Sabah Bersifat Individu, Tidak Jejas Hubungan Negara

March 5, 2013



Oleh Siti Salwa Shaari

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Insiden pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina yang mendakwa diri sebagai 'Tentera Sulu' di Sabah tidak akan merenggangkan hubungan Malaysia-Filipina kerana perjuangan pasukan yang diketuai Agbimuddin Kiram itu hanya bersifat individu.

Dekan Kolej Undang-Undang dan Perhubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Marthada Muhamed berkata tindakan menceroboh negara menerusi perairan Lahad Datu pada 9 Feb lalu itu dibuat untuk kepentingan 'Sultan Sulu' Jamalul Kiram III yang juga tidak mendapat sokongan Filipina.

Ini jelas daripada kenyataan Presiden Filipina, Beniqno Aquino III yang menuntut supaya penceroboh itu menyerah diri tanpa syarat kepada pasukan keselamatan Malaysia selain enggan untuk memenuhi permintaan Jamalul untuk berunding, katanya.

Ahmad Marthada ketika dihubungi Bernama Isnin berkata penceroboh itu hanya berselindung di sebalik permintaan supaya Sabah dikembalikan kepada mereka kerana percaya isu utamanya ialah untuk memastikan supaya rakyat Sulu yang menetap di negeri itu terus dibenarkan tinggal di situ.

"Bukan mudah untuk seseorang menuntut sebuah negeri yang merupakan sebahagian daripada sebuah negara yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara asal mereka, iaitu Filipina," katanya.

Ahmad Marthada berkata insiden itu berlaku kerana timbul rasa bimbang di kalangan rakyat Sulu akan kemungkinan mereka dihantar pulang ke negara asal kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri setelah mereka melalui kehidupan yang cukup baik di Sabah.

"Mereka ini juga mungkin mengharapkan akan ada perjanjian-perjanjian susulan daripada kerajaan dan sudah tentulah antara permintaan mereka adalah untuk memastikan mana-mana rakyat mereka yang berada di Sabah terus dibenarkan menetap di situ," katanya.

Ahmad Marthada juga berpendapat penceroboh itu berani untuk menggadai nyawa untuk ke negara ini kerana menyifatkan tindakan itu mendapat sokongan rakyat mereka, ditambah dengan pengalaman mereka berperang secara gerila, yang merupakan serpihan daripada pejuang-pejuang pembebasan sebelum ini.

Diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa perairan negara ini mudah dibolosi, Ahmad Marthada berkata, Sabah dari segi kedudukan geografi terletak berhampiran dengan selatan Filipina yang terdiri daripada banyak pulau-pulau kecil.

"Jika dilihat dari tempat mereka mendarat, ia hanya sejauh 20 hingga 25 kilometer sahaja dan ia adalah kawasan yang sangat luas dan adalah agak mustahil untuk kita pastikan kawasan itu dikawal 24 jam," katanya.

-- BERNAMA

Artikel berkaitan DUNIA

Share this Article on :

0 comments:

 

© Copyright Kerabu Bersuara 2007 -2013 | Design by Kerabu Bersuara | Published by Kerabu Bersuara Group | Powered by Blogger.com.