Saya tak berniat khianati Saiful - Azlan



Hazayani Zakaria,

PETALING JAYA: Bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim hari ini menyatakan pendedahan beliau berhubung kes Fitnah Liwat II sebelum ini bukan berniat mengkhanati anaknya itu.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini sebentar tadi, beliau juga turut memohon maaf kepada Saiful atas apa yang telah berlaku.

"Saya ingin meminta maaf kepada Saiful atas apa yang berlaku. Saya tak berniat menganiayai atau mengkhianati anak kandung saya sendiri," katanya sambil menambah beliau sangat menyayangi Saiful.

Terdahulu pada sidang media sama, beliau mengumumkan menyertai PKR dan menyerahkan borang permohonan menjadi ahli kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Azlan juga tidak membuat sebarang kenyataan lanjut berhubung kes Saiful kerana sudah membuat kenyataan awal pada Jumaat lepas.

"Bukan bermakna saya menyertai PKR, saya akan menyisihkan Saiful dan anak-anak yang lain," katanya.

Beliau turut menjelaskan, keputusan menyertai PKR tidak ada kena-mengena dengan kes mahkamah melibatkan dakwaan liwat ke atas Saiful sebaliknya beliau sudah lama mengikuti perjuangan PKR.

"Saya sebagai rakyat Malaysia berhak buat keputusan tentang diri sendiri dan saya dah fikir sedalam-dalamnya dan implikasinya. Ini adalah masa yang tepat untuk saya sertai PKR untuk buat perubahan.

"Kita perlu profesional dalam hal ini. Apa yang saya lakukan sekarang ialah menyertai politik, tak ada kena mengena dalam kes mahkamah yang dihadapi anak saya.

"Kebetulan saya sertai PKR yang dipimpin Datuk Seri Anwar. Kalau saya sertai parti belah sana tentu tak timbul isu," katanya.

Tambah Azlan juga, beliau lebih mengetahui apa yang berlaku di sebalik kes tersebut.

"Sebagai bapa saya tahu dengan lebih jelas apa yang berlaku di belakang tabir yang orang lain tidak tahu," tegasnya.

Pada Jumaat lalu, Azlan mengejutkan banyak pihak apabila mengadakan satu sidang media khas mendakwa kes Fitnah Liwat II membabitkan anaknya terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu konspirasi pihak tertentu.

Beliau turut mendedahkan beberapa nama termasuk seorang pegawai khas kepada pemimpin tertinggi negara yang didakwanya sebagai dalang kepada konspirasi untuk memusnahkan karier Anwar.

No comments

Powered by Blogger.