Terkini! Bapa Saiful mohon maaf pada Anwar, dakwa anaknya dipergunakan


Bapa Saiful Bukhari hari ini memohon maaf kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mendakwa bahawa anaknya telah dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang didakwanya termasuk seorang pegawai perdana menteri untuk memfitnah Anwar dalam kes Liwat II.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dan telah menjadi mangsa fitnah ini," kata Azlan Mohd Lazim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam satu sidang akhbar hari ini.
"Dengan ini saya memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan famili beliau. Beliau dan familinya telah banyak menderita dan sangsara akibat fitnah ini," tambahnya

Saiful, bekas pembantu Anwar adalah pengadu dalam kes liwat tersebut yang akhirnya menyaksikan ketua umum PKR itu dibebaskan daripada tuduhan itu tahun lepas.


Bapa Saiful: Anak saya diperguna untuk jatuhkan Anwar
JAMILAH HAMZAH


[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR - Dilihat sebagai perkembangan terbaru yang akan memanaskan lagi politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim, hari ini mendakwa anaknya itu dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu tidak bertanggungjawab - mendalangi kes liwat kedua melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya Azlan Mohd Lazim sesungguhnya percaya anak saya Saiful Bukhari telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

"Mereka inilah merupakan dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang melibatkan anak saya," kata beliau pada sidang media di sini pagi tadi.

Beliau juga berkata, perkara itu adalah konspirasi jahat untuk mengheret Anwar, yang dibebaskan daripada tuduhan meliwat 9 Januari 2012, ke penjara buat kali kedua.

"Saya percaya anak saya telah dipergunakan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka, percakapan yang dibuat pada media juga telah diatur dan dirancang (pegawai khas pemimpin kanan negara).

"Saya hanya baca skrip tersebut disebabkan perasaan sayang saya kepada anak (Saiful), namun setelah lama saya berasa bersalah dan tak tenang.

"Ini adalah konspirasi politik jahat yang diatur untuk menjatuhkan dan mengheret kembali Anwar ke penjara," katanya.

No comments

Powered by Blogger.