Semakin Panas

AG batal Kamal Hisham notari awam JB

KUALA LUMPUR - Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah membatalkan pelantikan Kamal Hisham Ja'afar sebagai notari awam bagi Johor Bahru, Johor.

Dalam kenyataan media, beliau berkata, pembatalan yang dibuat kelmarin itu perlu kerana Kamal Hisham tidak berkhidmat untuk penduduk Johor Bahru, yang menjadi asas kepada pelantikan beliau pada 13 Februari 2013.

"Ia juga demi kepentingan awam berikutan waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Kamal Hisham atas pertuduhan jenayah dan dengan itu pelantikannya dibatalkan bagi mendukung kesucian institusi notari awam," katanya.

Menurut kenyataan itu, pelantikan itu dibuat oleh Abdul Gani selepas merundingi Majlis Peguam sebagaimana ditetapkan dalam subseksyen 3(3) Akta Notari Awam 1959.

Katanya, dalam permohonannya, Kamal Hisham menyatakan beliau bercadang menjalankan praktik notari awam di Johor dan selepas menimbangkan bahawa beberapa notari awam sudah pun menjalankan praktik di negeri itu, Abdul Gani membataskan tempat praktiknya di Johor Bahru untuk kemudahan penduduk Johor Bahru.

"Langsung tidak diketahui bahawa semasa memproses permohonan pelantikan itu, Kamal Hisham telah tidak tinggal Johor Bahru untuk tempoh yang agak lama.

"Pemeriksaan dengan jabatan polis mendedahkan Kamal Hisham telah meninggalkan negara dan mengelakkan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya," kata Abdul Gani.

Beliau berkata, Majlis Peguam telah dirujuk serta merta mengenai perkembangan itu dan pada 25 Februari telah menarik balik sokongan yang dibuat pada 8 Januari berhubung permohonan Kamal Hisham. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.