Gambar TG Nik Aziz Mengimami Solat Jenazah Arwah Zaidi Buluh Perindu

http://sphotos-b.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash3/644610_106446439529160_167269502_n.jpghttp://sphotos-c.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-prn1/563310_106446456195825_1353306016_n.jpghttp://sphotos-g.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-prn1/69249_106446479529156_1818839995_n.jpghttp://sphotos-e.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash3/555404_106446472862490_2074058231_n.jpghttp://sphotos-a.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash3/522642_106446492862488_1235796372_n.jpg

Keluarga Zaidi terharu MB imam solat jenazah

Rizal Tahir, 28 Feb 2013

TUMPAT: Keluarga allahyarham pendikir barat Zaidi Buluh Perindu atau nama sebenarnya, Zaidi Mohammad, 44, melahirkan rasa terharu di atas kesudian Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hadir untuk mengimamkan solat jenazah.

Isterinya, Zaharina Mohammad, 47, ketika ditemui melahirkan rasa syukur dalam nada sebak sebaik sahaja melihat Tuan Guru mengimami solat jenazah di kediaman arwah di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu dekat sini.

“Terima kasih banyak-banyak, syukur kerana Tuan Guru sudi datang,” ujarnya dengan nada sebak.

Zaharina turut mengakui Zaidi jatuh pengsan ketika membuat persembahan pada satu program di Pengkalan Kubor kira-kira jam 11.00 pagi tadi.

Jelasnya, arwah suaminya tiba-tiba jatuh dan pengsan serta disahkan meninggal dunia di Hospital Daerah Tumpat.

Tuan Guru mengimamkan solat jenazah tepat jam 5.15 petang. Beliau meminta menghubungi pihak keluarga allahyarham untuk menziarahi sebaik sahaja dimaklumkan berhubung kematiannya.

Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak.

Ketua Kumpulan Ar-Rasy, Ausri Hussin mengucapkan takziah di atas kematian allahyarham.

Beliau menyifatkan kematian Zaidi begitu sukar dicari ganti.

“Suaranya begitu lunak, hingga berkesan pada siapa yang mendengarnya,” ujarnya.

Sementara itu rakan yang sering berganding sewaktu persembahan dengan allahyarham, Mat Glamour atau nama sebenarnya Ahmad Awang Ahmad, 53, tidak menafikan beliau begitu terasa kehilangan Zaidi.

Menurutnya, selama 15 tahun beliau aktif bersama.

“Allahyarham bukan hanya sebagai rakan seperjuangan tetapi juga seorang sahabat yang baik, saya memang terasa kehilangannya,” ujarnya.

Turut menziarahi keluarga allahyarham, Timbalan Speaker Dun, Mohd Zaki Ibrahim, Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Tumpat, Rosli Abdullah, Ketua Penerangan PAS Tumpat, Mohd Nawi Adam, bekas anggota Parlimen Tanah Merah, Mohd Saupi Daud, serta lain-lain pimpinan PAS.

Turut menziarahi rakan-rakan artis dikir barat yang lain, Man Khan, Fendi Kenali, Jen KL dan lain-lain termasuk anggota Ar Rasy.



Zaidi Buluh Perindu meninggal dunia ketika buat persembahan sambut Noh Omar

28 Februari 2013

TUMPAT - Penyanyi lagu-lagu dikir barat terkenal Kelantan, Zaidi Mohamad, 46, yang lebih dikenali sebagai 'Zaidi Buluh Perindu', meninggal dunia di Hospital Tumpat akibat serangan jantung, di sini hari ini.

Zaidi jatuh dan pengsan ketika membuat persembahan dikir barat untuk menyambut ketibaan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Geting, di sini, pada 10.35 pagi dan disahkan meninggal dunia di hospital itu pada 11 pagi.

Allahyarham yang menetap di Kampung Bunut Sarang Burung, di sini, meninggalkan seorang isteri, Zaharina Mohamad, 47, dan tujuh anak berusia antara 11 hingga 28 tahun.

Allahyarham turut merakamkan lebih 100 album sejak berkecimpung dalam dunia dikir barat sejak 20 tahun lepas, dan mula terkenal selepas lagu dikir barat bertajuk 'Juwita' mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk negeri ini.

Zaharina ketika ditemui di rumahnya berkata beliau reda dengan pemergian suaminya namun terkilan kerana hajat Zaidi untuk menunaikan umrah pada April ini tidak tercapai.

"Pagi ini arwah sempat bersarapan sebelum turun membuat persembahan dikir barat di Kompleks LKIM itu. Saya tidak syak apa-apa sehinggalah menerima panggilan mengatakan arwah meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Noh turut meluangkan masa melawat keluarga Zaidi selepas selesai merasmikan Restoran Sri Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tumpat serta menyampaikan elaun sara hidup tunai Parlimen Tumpat dan Pengkalan Chepa di LKIM Geting di sini.

Turut hadir Adun Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar; Naib Ketua Umno Tumpat Wan Hanapi Wan Yaakob dan Pengarah LKIM Kelantan, Wan Mohd Adnan Wan Ibrahim.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunut Sarang Burung selepas solat Asar. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.