BN langgar Akta Kesalahan Pilihanraya, apa tindakan SPR?


KUALA LUMPUR, 7 FEB: Bendera gergasi yang tertera perkataan “Undilah Barisan Nasional” sudah dinaikkan Barisan Nasional (BN) dengan sewenang-wenangnya di beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor walaupun Parlimen belum dibubarkan.

Tindakan BN itu adalah salah mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 kerana berkempen sebelum Parlimen dibubarkan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara satu tahun atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Berikutan itu, DAP Taman Segambut yang menerima aduan daripada orang ramai bertindak menghantar satu laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri, pagi tadi meminta maklum balas daripada badan bebas itu.

Laporan itu antara lain mempertikaikan adakah pameran bahan kempen pilihan raya oleh parti politik dibenar atau dibolehkan walaupun Parlimen belum dibubar.

“Jika tidak, apakah tindakan yang akan diambil oleh SPR terhadap bendera gergasi yang dipasang BN itu,” soal Setiausaha Cawangan DAP Taman Segambut, Yew Jia Haur.

Ketua Cawangan DAP Taman Segambut, Patrick Hoo Keh Yew pula berkata, jika yang digantung adalah logo parti memang tidak menjadi masalah bagi pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Isunya sekarang ialah slogan “Undilah Barisan Nasional”. Itu memang tidak boleh dan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya,” jelas beliau.

Mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Pindaan 1969) (4), Seseorang calon atau ejen pilihan rayanya boleh semasa tempoh berkempen, mempamer, memberi atau mengedarkan bahan kempen pilihan raya kepada orang ramai di dalam bahagian pilihan raya yang baginya calon itu bertanding tetapi hanya jika dia—

(a) Memegang suatu permit untuk berbuat demikian yang dikeluarkan kepadanya oleh Pegawai Pilihan Raya Negeri, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditentukan Pegawai Pilihan Raya Negeri itu; dan

(b) Telah membayar kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri itu deposit sebanyak RM5,000 dalam hal suatu pemilihan ke Dewan Rakyat dan tiga ribu ringgit dalam hal suatu pemilihan ke Dewan Undangan Negeri.

Perenggan (10) menyatakan; Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (3), (4) atau (7) boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.-Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.