Jamin peralihan kuasa aman, Anwar tabik bekas tentera



(Oleh Sidiqin Omar)

SHAH ALAM 25 FEB: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin, perubahan pentadbiran selepas PRU 13 berlangsung secara aman berikutan jaminan pegawai tertinggi tentera termasuk berpangkat jeneral.

“Bila (Lt Jen (B)) Datuk Ghafir (Abdul Hamid) (bekas Timbalan Panglima Tentera Darat) dan belasan tokoh-tokoh besar tentera sebut tentang profesionalisme bahawa tentera tunduk kepada Raja, undang-undang dan negara, ia menjamin untuk membantu peralihan.

“Strategi yang dirancang untuk pastikan perubahan berlangsung secara aman. Mewakili rakan-rakan Pakatan Rakyat, saya tabik hormat pada mereka,” kata Anwar sambil memberi tabik kepada bekas pimpinan tertinggi tentera yang hadir ke Konvensyen Pakatan Rakyat, hari ini.

Selain Ghafir, turut hadir ke konvensyen itu Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid dan aktivis Pertubuhan Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan).

PR“Kita yakin kita mampu tawan Putrajaya. Untuk itu jaminannya adalah kita menang dengan kerusi yang cukup. Kita sekarang ini berlawan dengan orang yang kasar dan tamak haloba,” kata Anwar.

“Isu yang penting ialah orang yang ‘penuh temboloknya’ tak mampu melepaskan (kuasa) dengan mudah. Kita belajar dari pengalaman Bangladesh apabila pemimpin parti Jemaat-Islami dituduh atas kesalahan tahun 1971,” katanya memberi peringatan.

Dalam pada itu Anwar berkata, penyertaan bekas tentera termasuk mantan jeneral merungkai aspek baru dalam dasar pertahanan negara.

“Keselamatan negara tak boleh dikompromi. Pembelian senjata yang terbaik ialah tanpa rasuah dan komisen adalah sesuatu yang mesti dilaksanakan,” tegasnya.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat tidak akan mengamalkan politik balas dendam meskipun sekian lama didera, disekat suara dan ramai pemimpinnya dipenjara.

“Kita akan ambil kuasa untuk bawa agenda rakyat, bùkan berhasrat untuk membalas dendam. Yang perlu dibuat ialah mengambil balik apa yang telah dicuri,” kata Anwar.

No comments

Powered by Blogger.