Ucapan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Konvensyen Pakatan Rakyat 2013 di Shah Alam (bm/cn)




Ucapan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Konvensyen Pakatan Rakyat 2013 di Shah Alam pada 25.02.2013

Saya berasa berbesar hati kerana diberi peluang untuk berucap di depan rakan-rakan seperjuangan daripada DAP, PAS dan PKR pada pagi ini. Segala onak dan duri perjuangan telah kami lalui bersama sejak pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Macam-macam dugaan dan cubaan telah diharungi, dan sudah tentu macam-macam lagi yang menanti. Pun begitu, detik yang bersejarah kini menjelma, dengan Pilihan Raya Umum yang akan datang dalam beberapa minggu yang terdekat ini.

Pilihan Raya Umum yang ke-13 ini bukan sekadar penamatan persidangan Parlimen ke-12 yang telah bermula sejak 28 April 2008, tetapi ia juga melambangkan masa untuk menamatkan pemerintahan Barisan Nasional yang telah berterusan selama 58 tahun sejak pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955.
Model politik baru

PRU yang akan datang ini bukan sekadar peluang untuk mengatakan “tidak” kepada pemerintahan Dato’ Sri Najib Tun Razak, tetapi ia juga peluang bagi rakyat Malaysia untuk mengatakan “tidak” kepada gejala rasuah, politik perkauman dan kezaliman Barisan Nasional yang telah menindas rakyat selama ini.

Ia juga merupakan peluang keemasan untuk memulakan satu budaya dan model politik baru buat negara kita. Model baru yang dibawa Pakatan Rakyat ini adalah politik dasar dan debat, dan bukan politik perkauman dan penipuan.
Rakyat mahu menilai pemimpin-pemimpin mereka atas hujah dasar, namun jelas Perdana Menteri sendiri hanya berupaya bermain politik perkauman dan agama. Semalam, Dato’ Sri Najib telah membuat tuduhan liar bahawa DAP menindas agama Islam. Ini adalah fitnah bahaya yang bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen orang Islam terhadap DAP. Tidak ada sebarang bukti untuk menyatakan demikian – malah saya pernah menang tindakan saman ke atas Utusan Malaysia di mahkamah atas dakwaan bahawa saya ini anti-Melayu dan anti-Islam.

Status agama Islam sebagai agama Persekutuan bukan sahaja telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan DAP, pengalaman selama 5 tahun yang lepas di Pulau Pinang telah membuktikan bahawa agama Islam lebih dimartabatkan oleh kerajaan PR dengan peningkatan peruntukan hal ehwal Islam berkali-kali ganda berbanding dengan kerajaan BN, pemberian tanah bernilai hampir RM80 juta untuk membina ibupejabat Mahkamah Syariah Pulau Pinang setinggi 7 tingkat untuk menggantikan bangunan 2 tingkat, mendirikan Tapak Perindustrian Halal, menambahkan elaun bulanan 80% kepada tok siak dan bilal, mengiktiraf para huffaz dan memberikan peruntukan tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat yang tidak pernah dibuat sebelum ini.

Adalah jelas di sini bahawa fakta-fakta dapat menyanggah tuduhan-tuduhan Najib yang langsung tidak berasas. Maklumlah, BN tidak mampu menghadapi kita di atas landasan politik baru dasar dan debat, kerana mereka tidak dapat berhujah melainkan dengan sentimen sempit perkauman dan agama. Oleh itu, mereka sering mengelak jemputan untuk berdebat apabila dicabar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang.

Pembaharuan 3P

Model politik yang berdasarkan dasar dan debat ini bukan perkara yang baru bagi Pakatan Rakyat. Selama lima tahun yang lepas, kita sudah pun membuktikannya melalui pentadbiran yang bersih, berintegriti dan berpaksikan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus).

Di samping itu, kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga telah membawa pembaharuan yang berasaskan 3P – Prinsip, Polisi dan Prestasi.

3P ini bukan cubaan untuk menabur janji – ia sudah pun dibuktikan. Sebagai contoh, negeri Pulau Pinang telah berjaya memerangi rasuah dan kronisme dengan melaksanakan sistem tender terbuka, mendedahkan kontrak-kontrak kerajaan dengan sektor swasta bagi penilaian umum, menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat, melarang wakil-wakil rakyat daripada berurus niaga dengan kerajaan, serta mewajibkan pengisytiharan harta secara terbuka oleh barisan EXCO termasuk Ketua Menteri.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Dato’ Sri Najib telah menandatangani Ikrar Integriti Transparency International. Akan tetapi, apa gunanya beliau menandatangani ikrar tersebut sekiranya beliau tidak sanggup mengarahkan seluruh Jemaah menteri dan timbalan-timbalan menteri, serta ketua menteri Sabah dan juga Sarawak untuk membuat pengisytiharan harta secara terbuka? Jika Najib enggan membuat demikian, Ikrar Integriti beliau adalah sandiwara semata-mata.

Tambahan pula, kerajaan negeri Pulau Pinang juga telah membuktikan komitmen terhadap prinsip kebebasan dan hak asasi manusia, dengan penubuhan Sudut Pidato yang pertama di Malaysia, serta meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Walaupun dihalang oleh kerajaan Pusat, kami akan terus melawan sehingga hasrat rakyat untuk kerajaan tempatan yang lebih demokratik dapat tercapai.

Selain mengamalkan prinsip-prinsip CAT, integriti dan kebebasan, kerajaan Pakatan Rakyat juga merupakan kerajaan yang memilih untuk melaksanakan polisi-polisi yang berjiwa rakyat.

Selama ini, rakyat Malaysia telah dipecah belahkan dan diperintah dalam kerangka polisi perkauman Barisan Nasional yang mengayakan pemimpin-pemimpin serta kroni-kroni mereka sementara rakyat terbanyak dibiarkan dalam keadaan susah. Oleh itu, Pakatan Rakyat bertekad untuk memerangi dasar ekonomi kroni Barisan Nasional dengan dasar ekonomi rakyat.

Hasrat kita adalah untuk keluar daripada kepompong perkauman BN yang memecah belahkan rakyat. Sebaliknya, kita mahu membina negara Malaysia yang menghormati kepelbagaian masyarakat kita sebagai suatu kelebihan, dan melaksanakan polisi-polisi yang memartabatkan rakyat.

Sepertimana yang diungkapkan Mahatma Gandhi, “There is enough in this world for everyone’s need, but there is not enough in this world for one man’s greed.” Ataupun, dunia ini mampu memenuhi keperluan manusia, tetapi tidak mampu memenuhi ketamakan walau seorang.

Sesungguhnya kita patut bersyukur kerana tanah air kita mampu untuk memenuhi segala keperluan kita. Negara kita telah dirahmati dengan pelbagai jenis sumber asli, dan sekiranya kita dapat membanteras rasuah dan kronisme, sudah pasti negara kita mempunyai cukup bukan sekadar untuk memenuhi keperluan semua rakyat tetapi untuk memastikan kehidupan yang bermartabat.

Dasar yang mengutamakan rakyat adalah terserlah dalam pendekatan Pakatan Rakyat. Malah, sebelum BR1M diperkenalkan, kamilah yang terdahulu menekankan perhatian kepada hakikat bahawa 60% golongan terbawah mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan. Ini merupakan kegagalan polisi-polisi ekonomi Barisan Nasional yang mengutamakan kroni sementara rakyat terbiar. Daripada menangani masalah pokok yang sebenar, BN hanya mampu menutup kegagalannya dengan bantuan RM500 apabila sudah mendekati Pilihan Raya Umum.

Polisi Pakatan Rakyat tidak berkisar pada bantuan kewangan semata-mata, tetapi kami mengutarakan pembaharuan yang menyeluruh. Kami mencadangkan untuk menamatkan kebergantungan atas pekerja-pekerja buruh asing, menggalakkan automasi, peningkatan teknologi dan inovasi supaya masa depan ekonomi kita akan berpusat bukan pada tenaga buruh tetapi pada tenaga otak. Produktiviti, gaji dan kemahiran harus dipupuk secara selari untuk memastikan semua dapat memanfaat daripada pertumbuhan ekonomi. Seperti yang terbukti di negeri-negeri PR, hanya kerajaan bersih yang tidak mengamalkan rasuah dan kronisme yang dapat menghasilkan keadilan sosio-ekonomi untuk semua.

Selain Prinsip dan Polisi, sifat ketiga kerajaan Pakatan Rakyat adalah Prestasi. Rekod kita selama 5 tahun sejak 2008 sememangya terserlah. Di Pulau Pinang, kami telah berjaya mengurangkan hutang negeri sebanyak 95% daripada RM630 juta pada tahun 2008 kepada RM30 juta sekarang.

Ini amat berbeza dengan kerajaan BN yang telah menggandakan hutang mereka dalam tempoh masa yang sama. Pada tahun 2007, hutang kerajaan Persekutuan berjumlah RM267 bilion. Hari ini, hutang tersebut sudah pun digandakan kepada RM502 bilion. Jumlah ini tidak termasuk liabiliti kontinjen, iaitu pinjaman-pinjaman yang dijamin oleh kerajaan Persekutuan. Jika semua hutang ini dijumlahkan, angka hutang negara kita akan mencecah lebih RM600 bilion, ataupun RM22,000 setiap seorang rakyat Malaysia! Dengan kata lain, setiap anak yang lahir di Malaysia akan dilahirkan dengan beban hutang di sekeliling pinggang sebanyak RM22,000 setiap seorang.

Tambahan pula, sejak mengambil alih pucuk pentadbiran pada tahun 2008, kami telah berjaya mencatat belanjawan lebihan untuk setiap tahun berturut-turut. Wang lebihan yang berjaya diperolehi itu pula disalurkan kembali kepada rakyat melalui program-program Agenda Ekonomi Sosial seperti bantuan RM100 untuk warga emas, ibu tunggal, OKU, pelajar emas, anak emas dan sebagainya.

Inilah perbezaan yang paling ketara antara PR dan BN. Semua program kebajikan kita adalah hasil daripada lebihan kewangan yang telah diperolehi melalui pengurusan kewangan yang cekap dan diiktiraf Laporan Ketua Audit Negara. BN pula memberi bantuan kewangan walaupun mencatat defisit yang tinggi dan hutang yang makin melambung.

Kerajaan PR Pulau Pinang juga telah berjaya untuk membasmi kemiskinan tegar pada tahun 2009, dan bakal menghapuskan kemiskinan sama sekali dengan memastikan pendapatan minima RM770 sebulan bagi setiap isi rumah di Pulau Pinang.

Jika Pulau Pinang yang merupakan negeri kedua terkecil yang tidak mempunyai sebarang sumber asli boleh berjaya menghapuskan kemiskinan dan rasuah, kenapakah BN gagal melakukan demikian setelah lebih 50 tahun berkuasa?

Rasuah membinasakan negara

Gejala rasuah sudah berleluasa di negara kita, sehingga negara kita sudah menjadi sinonim dengan ketirisan, kos terlanjur dan skandal-skandal kewangan seperti skandal RM3 bilion Maika, skandal saham Bumi yang berjumlah RM52 bilion, Zon Bebas Pelabuhan Klang yang membabitkan RM12 bilion dan banyak lagi termasuk skandal RM250 juta “lembu dan kondo” NFC.

Akibat rasuah dan skandal-skandal kewangan tersebut, negara kita terpaksa menanggung defisit kewangan dan beban hutang yang makin melambung. Hakikatnya, belanjawan negara kita telah mencatat defisit selama 15 tahun berturut-turut. Kali terakhir negara kita berjaya mencatat lebihan belanjawan adalah semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Oleh itu, jika kita mahu selamatkan negara kita dan memperbetulkan urusan kewangan, kita perlukan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Pada masa yang sama, laporan oleh badan pemerhati kewangan antarabangsa yang berpusat di Washington, Global Financial Integrity, telah mendedahkan bahawa pengaliran keluar dana haram, ataupun “capital flight” yang berlaku di Malaysia telah berjumlah RM197 bilion pada tahun 2010 dan RM871 bilion sepanjang 10 tahun dari 2001 hingga 2010.

Berdasarkan perangkaan tersebut, Malaysia kini memegang rekod memalukan kerana menjadi negara kedua di dunia selepas China bagi jumlah pengaliran keluar dana haram pada tahun 2010. Akan tetapi, Malaysia merupakan jaguh dunia jika pengaliran keluar dana haram itu dibandingkan secara relatif kepada jumlah populasi penduduk. Pengaliran keluar dana haram per kapita untuk Malaysia adalah RM7,000 manakala jumlah untuk China hanyalah RM1,000 per kapita. Dengan kata lain, setiap seorang rakyat Malaysia telah kehilangan RM7,000 pada tahun 2010, ataupun RM30,000 sepanjang 10 tahun dari 2001 hingga 2010!

Jadual Pengaliran Keluar Wang Haram Tahun 2010
Jumlah Per Kapita
China RM1,300 bilion RM1,000
Malaysia RM197 bilion RM7,000
Mexico RM151 bilion RM1,400

Jadual Pengaliran Keluar Wang Haram Dari Tahun 2001-10
Jumlah Per Kapita
China RM8,360 bilion RM6,400
Mexico RM1,450 bilion RM13,300
Malaysia RM871 bilion RM31,000

Hak rakyat, hak keramat

Kita percaya bahawa Pakatan Rakyat mampu membawa perubahan dan pembaharuan kepada rakyat Malaysia. Model politik baru yang berdasarkan dasar dan debat serta prinsip dan polisi yang berjiwa rakyat akan memastikan bahawa rakyat Malaysia akan hidup dengan penuh martabat.

Lebih penting lagi, kerajaan PR akan membasmi gejala rasuah yang sudah hampir membinasakan negara kita. Di bawah kerajaan BN, semuanya dikaut dan dimiliki oleh kroni. Di bawah kerajaan PR, semua akan dikembalikan kepada rakyat.

Sekiranya PR berjaya dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang, kita akan membanteras rasuah dan memastikan bahawa semua wang yang telah dilenyapkan oleh BN, seperti dalam skandal saham Bumi, Maika, PKFZ, NFC dan sebagainya akan dikembalikan kepada pemiliknya – iaitu rakyat Malaysia.

Berdasarkan kenyataan Menteri BN sendiri, iaitu Dato’ Seri Chor Chee Heung, rasuah di negara kita mengakibatkan ketirisan sebanyak RM26 bilion setahun. Cuba bayangkan apa yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak ini. Kita akan menggunakan wang yang disimpan ini untuk membasmi kemiskinan di seluruh negara, terutama sekali di Sabah dan Sarawak, dua negeri yang terkaya dari segi sumber asli tetapi yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia.

Pada masa yang sama, kita juga akan memastikan kekayaan keluarga pemimpin-pemimpin BN seperti ketua menteri Sabah dan Sarawak akan dikembalikan kepada rakyat. Dengan ini saya mengumumkan bahawa sekiranya kita berjaya menumbangkan BN dalam PRU yang akan datang, kita akan melarang semua kapal terbang peribadi daripada meninggalkan negara untuk memastikan pemimpin-pemimpin BN tidak berpeluang untuk melarikan diri.
Di bawah Pakatan Rakyat, kita percaya bahawa “Hak rakyat hak keramat, hak kroni hak keparat!”

Pakatan Harapan Rakyat

Sementara Barisan Nasional terus melakukan “flip-flop” dan bercakap dengan lidah bercabang, Pakatan Rakyat telah konsisten dalam dasar-dasar kita. Pada bulan Disember 2009, kita telah melancarkan Dasar Bersama. Pada bulan Disember 2010, kita telah menerbitkan Buku Jingga. Pada bulan Januari 2012 pula, kita telah memperkenalkan Tawaran Jingga. Hari ini, kita berkumpul untuk menyaksikan dokumen dasar terbaru, iaitu “Manifesto Rakyat: Pakatan Harapan Rakyat”.

Dengan manifesto ini, kita ingin membentuk Malaysia yang berjaya dengan Prinsip CAT yang dapat memastikan kerajaan yang bersih dan berintegriti, Polisi ekonomi rakyat yang dapat memastikan keadilan sosial, serta meneruskan Prestasi kerajaan PR yang terbukti berjiwa rakyat.

Tidak akan ada rakyat kelas kedua atau ketiga di Malaysia – semua, tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban akan menjadi rakyat Malaysia kelas pertama.

Setiap rakyat Malaysia akan diberi peluang untuk berjaya dan tidak ada yang akan dinafikan hak mereka atau peluang kerjaya atau ekonomi hanya disebabkan hubungan politik atau warna kulit.

Kita akan memastikan bahawa jalan menuju kejayaan itu adalah berdasarkan kebolehan dan bukan korupsi atau rasuah.

Akhir sekali, ahli falsafah Plato pernah menyatakan bahawa “Kita boleh memaafkan seorang kanak-kanak yang takut dengan gelap; tragedi sebenar berlaku apabila orang dewasa takut dengan pencerahan.” Oleh itu, saya ingin menekankan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat yang baru akan memastikan setiap rakyat Malaysia akan bebas daripada penindasan, rasuah, kemiskinan, kejahilan dan paling penting sekali, ketakutan.

Hanya dengan itu, barulah kita boleh membina negara Malaysia yang dapat menunaikan impian-impian semua anak kita.

Ini kali lah!

No comments

Powered by Blogger.