News Update :

Awang Adek: Wang ihsan tidak dibelanja untuk politik

February 26, 2013


BACHOK - Peruntukan wang ihsan berjumlah antara RM20 juta dan RM30 juta setahun yang disediakan kerajaan persekutuan untuk Kelantan, tidak pernah dibelanjakan bagi kepentingan politik, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata wang itu sebaliknya dibelanjakan untuk membantu rakyat termasuk membaik pulih rumah, kecemerlangan pelajar, mangsa banjir dan ribut.

"Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan mempunyai rekod mengenainya dan ia boleh disemak jika perlu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 217 pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Pejabat Pelajaran Daerah Bachok (PPD) di sini, hari ini.

Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan memperuntukkan sejumlah RM32,550 untuk bantuan kepada pelajar terbabit bagi meringankan beban keluarga.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata demikian sebagai mengulas tindakan sekumpulan konvoi bermotosikal badan bukan kerajaan (NGO) pro Pas yang menjelajah ke kampung-kampung menuntut wang itu diberi menerusi kerajaan negeri bukan melalui JPP.

Awang Adek berkata pengagihan wang itu dilakukan secara telus dan adil tanpa amalan diskriminasi serta fahaman politik seseorang, ia berasaskan kepada siapa yang layak.

Sebaliknya, jika ia disalurkan kepada kerajaan negeri, tiada jaminan pengagihan wang itu dapat dilakukan secara adil sebagaimana yang dilakukan terhadap peserta projek Ladang Rakyat di bawah kerajaan negeri yang mementingkan kroni Pas, katanya.

Beliau berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, bekerja keras untuk membangunkan negeri ini, termasuk Kelantan menerima peruntukan RM7 bilion bagi projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9). - Bernama

Artikel berkaitan SEMASA

Share this Article on :

0 comments:

 

© Copyright Kerabu Bersuara 2007 -2013 | Design by Kerabu Bersuara | Published by Kerabu Bersuara Group | Powered by Blogger.com.