Pertahan Islam Asas Keberadaan PAS dalam Pakatan



Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden dalam ucapan beliau di Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (PGU) 7.0 di Kampung Banggol Peradong, Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Pasu, Kuala Nerus pada hari sabtu yang lalu.

Datok Seri Tuan Guru Presiden PAS dipetik berkata “PAS memberi jaminan kerjasama dengan parti Pakatan Rakyat dengan DAP, dengan KeADILan (PKR) selagi dapat mempertahankan Melayu Islam. Sekiranya kerjasama itu merugikan Melayu Islam, merugikan Islam…PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan tidak ada ragu-ragu lagi. Sehingga hari ini, kita (PAS) bersama Pakatan Rakyat"

Dewan Ulamak PAS Pusat percaya ucapan beliau tersebut adalah tersangat jelas dan ianya merupakan satu jaminan PAS kepada umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia bahawa kepentingan Islam akan terus dipertahankan oleh PAS dan ianya adalah penentu keberadaan PAS dalam Pakatan.PAS tetap setia dengan Pakatan selagimana kepentingan Islam menjadi keutamaan dan agenda utama.

Rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat Malaysia hendaklah memahami serta menghayati akan perjuangan dan prinsip perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Sejarah telah membuktikan betapa konsistennya PAS dalam agenda dan usaha ini.

Kami Dewan Ulamak PAS Pusat senantiasa akan mempertahankan kepentingan Islam melebihi kepentingan-kepentingan yang lain sepertimana yang terkandung dalam ucapan Datuk seri Presiden PAS tersebut serta sepertimana yang terkandung dalam perlembagaan PAS.
Tahaluf Siyasi Pakatan Rakyat yang disertai oleh PAS amat bergantung kepada sejauhmana mana kepentingan Islam menjadi agenda utama yang dipertahankan dalam pakatan.

PAS akan mengkaji kedudukannya dalam Pakatan Rakyat sekiranya ianya membawa kerugian kepada kepentingan Islam dan umat Islam di Malaysia.

Dalam masa yang sama agenda keadilan Islam kepada seluruh bangsa di Malaysia akan terus menjadi dasar perjuangan PAS dalam usaha meruntuhkan kezaliman terutamanya apa yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Umno BN sekarang.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Dato' Nik MUhammad Zawawi Salleh

No comments

Powered by Blogger.