Ketua Pemuda Umno fail cerai


Wartawan Sinar Harian

SEPANG - Ketua Pemuda Umno Selangor, Ungku Mohd Salleh Ungku Abdul Jamal, memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan dengan isteri pertamanya, Zuraida Zainal Abidin, di Mahkamah Rendah Syariah, di sini.

Semasa prosiding sebutan kes itu semalam, Ungku Mohd Salleh memberitahu mahkamah, beliau mengambil keputusan memfailkan permohonan tersebut kerana tidak wujud lagi persefahaman antara mereka.

Mohd Salleh memaklumkan, beliau dan isterinya sudah tinggal berasingan selepas Zuraida memaksanya melafazkan taklik, antara Ogos hingga September pada 2010.

Beliau turut menjelaskan kepada mahkamah bahawa beliau pernah melafazkan taklik terhadap Zuraida selepas dipaksa bersumpah dan menjunjung al-Quran oleh isterinya itu.

Menurutnya, Zuraida memaksanya melakukan demikian bagi membuktikan beliau tidak pernah mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain, yang mana ketika itu isterinya sedang berpantang selepas melahirkan anak mereka yang kelapan.

Ungku Mohd Salleh seterusnya memaklumkan mahkamah, beliau melafazkan taklik antara Ogos dan September 201 dengan menyebut sekiranya dia curang atau mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain, maka jatuh talak tiga terhadap isterinya itu.

Sementara itu, Ungku Mohd Salleh secara bersumpah berkata, beliau tidak pernah berlaku curang atau mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain di luar rumah.

Zuraida pula mengakui mereka sudah tidak tinggal sebumbung selepas perselisihan faham kira-kira dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Zuraida tidak bersetuju dengan permohonan cerai dibuat oleh Ungku Mohd Salleh semalam, sebaliknya meminta mahkamah mengkaji taklik yang pernah dilafazkan plaintif.

Berikutan itu, Hakim Syarie Rosdi Hanapi, menetapkan 14 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

No comments

Powered by Blogger.