Fitnah lagi: Dr Arifin dituduh mahu dirikan gereja di UPNM, siapa “Mat Gerek”?



GEORGE TOWN, 8 FEB: Politik hegemoni agama terus dimainkan bagi membakar sensitiviti rakyat Malaysia. Terkini, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Senator Dr Ariffin Omar sekali lagi menjadi mangsa fitnah apabila dituduh mahu menyebarkan ajaran Kristian.

“Saya dituduh menyebarkan agama Kristian bersama beberapa pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kepada pelajar dan kakitangan universiti yang lain dengan matlamat untuk membangunkan sebuah gereja dalam universiti itu.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya adalah seorang Muslim dan tidak pernah langsung terbabit dalam sebarang kegiatan menyebarkan agama Kristian,” tegasnya pada satu sidang media.

Menurutnya, dakwaan fitnah itu adalah mengarut sama sekali dan sengaja dilakukan untuk mencemarkan namanya serta beberapa pensyarah yang lain.

Selain itu Dr Ariffin berkata, tuduhan tidak berasas daripada seseorang yang menggelar dirinya sebagai “Mat Gerek” melalui satu memorandum turut mendakwa bahawa agen CIA telah berjaya menyusup masuk ke UTNM dan membiayai beberapa kajian yang dijalankan beberapa pensyarah di situ.

“Saya dapat tahu bahawa fitnah jahat ini dibuat oleh seseorang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam universiti dalam satu mesyuarat sekitar akhir Oktober dan awal September tahun lalu,” ujarnya.

Apabila ditanya tindakan selanjutnya, beliau berkata, perkara ini akan dilaporkan kepada pihak polis dan mahu pihak berkuasa itu menjalankan siasatan menyeluruh agar namanya dan pensyarah lain yang dituduh dapat dibersihkan.

Di sebalik isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible yang mencetuskan polemik, fitnah terbaru yang dilemparkan ke atas Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu dilihat sebagai senjata pihak lawan yang sengaja memainkan sensitiviti rakyat Malaysia demi meraih sokongan politik.
Sejak bersama perjuangan DAP, imej dan reputasi Dr Ariffin sering menjadi sasaran fitnah termasuk sebelum ini pernah dituduh mengatakan punca rasuah dalam perkhidmatan awam adalah disebabkan monopoli orang Melayu walhal beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.