Berhentilah Menjaja Nama dan Memfitnah Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz



Berhentilah Menjaja Nama dan Memfitnah Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz

1. Hanya kerana hendak mencari dalih dan alasan menolak pindaan Akta 355, PAN sanggup memfitnah Almarhum Tuan Guru Nik Aziz. Kononnya, Almarhum telah menolak pindaan Akta 355 ini pada tahun 1984.
Fitnah ini mula disebar menjelang persidangan Parlimen pada Oktober tahun lepas lagi. Ia dikarang oleh si Peguam Zul 7 Undi yang berada dalam DAP sekarang.

Kemudian, ia diulang sebar oleh sekalian juak PAN demi mempertahan pendirian mereka menentang RUU 355.

2. Saya sudah pun menyemak handsard dan membacanya dengan teliti. Mereka telah memutar belit (spin) sebahagian ucapan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang bertarikh 11 Oktober 1984.
Almarhum Tuan Guru bukannya menolak pindaan Akta 355 tersebut, sebenarnya Almarhum tidak bersetuju dengan sebahagian ucapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Yusof Nor ketika membentangkan pindaan tersebut.

Timbalan Menteri itu berkata "Di Malaysia pada masa sekarang kes-kes kesalahan jenayah di kalangan anggota masyarakat Malaysia amnya dan orang-orang Islam khasnya semakin bertambah walaupun Kerajaan sentiasa mengambil langkah-langkah untuk menyekat kejadian jenayah di kalangan orang-orang Islam melalui usaha-usaha agama seperti dakwah , ceramah-ceramah agama dan penerangan-penerangan berhubung dengan agama Islam , namun kes-kes kesalahan jenayah terus berlaku."

3. Ucapan inilah yang tidak disetujui oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana Almarhum berpandangan kaedah menjatuhkan denda dan hukuman juga adalah sebahagian tuntutan agama Islam.

Ini petikan daripada handsard;

"Tuan Yang di-Pertua,
saya katakan mukadimah ini sebagai mukadimah penting sebagai melahirkan tidak setuju saya yang amat sangat terhadap ucapan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sewaktu membentangkan Rang ini. Beliau menyebut di halaman 68, walaupun Kerajaan sentiasa mengambil langkah-langkah untuk menyekat kejadian jenayah di kalangan orang-orang Islam melalui usaha-usaha agama seperti dakwah, ceramah-ceramah agama dan penerangan-penerangan berhubung dengan Agama Islam, namun kes-kes kesalahan jenayah terus berlaku.

Dari kata-kata itu bolehlah difahamkan bahawa kerja mendenda dan menjatuhkan hukuman ke atas pesalah itu bukan usaha agama bahkan yang disebut sebagai usaha agama itu hanya berkisar di atas dakwah, ceramah dan penerangan- penerangan
berhubung dengan agama.

Sedangkan menjatuhkan denda dan hukuman juga adalah agama sepertimana yang disebut sekejap tadi."

4. Apabila dibaca keseluruhan teks ucapan Almarhum Tuan Guru, tidak terjumpa pula ayat yang mengatakan Almarhum menentang pindaan Akta 355.

Bahkan, seawal tahun 1984 lagi, Almarhum dengan berani menerangkan berkenaan Hudud, Qisos, dan Takzir dalam dewan Parlimen.

Ini cerita 33 tahun dulu, jelas ia bukti perjuangan PAS tetap konsisten sejak dulu sehingga sekarang dalam usaha mengangkat syariat Allah. Yang hanya berbeza ialah pendekatan dan langkah yang diambil secara berperingkat.

PAS terus berusaha dalam keadaan pihak lain hanya tahu memperlekeh, mengecam dan memperli perjuangan ini.

5. Di penghujung ucapan Almarhum Tuan Guru ada menyebut,

"Tuan Yang di-Pertua,
akhir kata saya minta dengan pindaan-pindaan seperti ini tidaklah hanya setakat atau sekadar membawa taraf Mahkamah- mahkamah Syariah yang ada sekarang akan setanding dengan Mahkamah-mahkamah Majistret sepertimana kenyataan yang dibuat oleh pembentang Rang ini tetapi sepatutnya Yang Berhormat itu membuat kenyataan bahawa pindaan ini boleh menyatukan dua jenis kehakiman yang sedang berjalan sekarang, sivil dan syariah supaya menjadi satu corak kehakiman sahaja iaitu syariatullah sahaja."

6. Jadi, pesanan dan seruan kepada penyebar fitnah ini,bertaubatlah dan berhentilah membuat kerja dosa ini, apatah lagi mengguna nama tokoh yang sudah tidak ada di muka bumi ini untuk menjawab tuduhan ini.

Apabila PAS sebut berkenaan Hudud, mereka kata belum sesuai, tidak kondusif, kejam, konservatif, diktator agama, pak lebai, walaun, Taliban dan bermacam lagi.
Ketika mana PAS sebut berkenaan pindaan Akta 355 bagi memperkasa Mahkamah Syariah, mereka sebut ini bukan Hudud, ini ciptaan Presiden PAS maka ia boleh ditentang, tidak kafir, dan tidak munafik jika menentangnya..

8. Lain kali, berterus terang sahaja pendirian kamu.
Usahlah mencipta 1001 dalih dan alasan bagi menentang perjuangan memartabatkan agama Islam.

Kalau ada yang berkata, PAS mempolitikkan hal ini.
Jawab saya mudah sahaja, dah sememangnya PAS sebuah parti politik dan dasar PAS ialah Islam maka sewajibnya PAS memperjuangkannya melalui jalan siasah.

Takkan mahu PAS memperjuangkan ideologi sekularisme, nasionalisme, liberalisme pula..?

Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
24 Februari 2017

No comments

Powered by Blogger.