RILEKS, KIM JONG-UN BUKAN GILA



RILEKS, KIM JONG-UN BUKAN GILA

Lelaki Korea Utara (DPRK) bernama Kim Jong-nam terbunuh di Malaysia. Jong-nam adalah abang tiri kepada Kim Jong-un, pemimpin tertinggi DPRK. Jadi, ramai yang anggap DPRK akan serang Malaysia, atau hubungan DPRK dan Malaysia akan jadi tegang. Ada yang kata ada konspirasi untuk membabitkan Malaysia dalam perang. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk memperlekeh sistem keselamatan Malaysia.

Dari semalam lagi ada sahabat meminta pendapat saya. Saya tidur nyenyak. Sebab tak ada apa yang akan berlaku. Rileks.

1. Adakah Kim Jong-un akan serang Malaysia untuk membalas dendam?

Sebenarnya Jong-nam mati, Jong-un yang paling gembira. Malah kebanyakan media Korea Selatan mendakwa Jong-un lah yang menghantar perisik untuk membunuh Jong-nam. Mengapa Jong-un mahu bunuh abang tirinya? Sebab kuasa.

Ayah mereka, Jong-il lebih sayangkan Jong-nam dan menjadikan Jong-nam sebagai pewaris pemerintahan, pada mula-mulanya. Cuma Jong-nam ini jenis memberontak dan banyak buat hal, dan akhirnya dia kehilangan kedudukan sebagai “putera mahkota”. Selepas Jong-il meninggal dunia pada 2011, Jong-un yang mewarisi ayahnya masih melihat Jong-nam sebagai ancaman. Kerana ikutkan budaya Asia Timur, Jong-nam sebagai anak sulung lebih berhak menjadi pewaris berbanding Jong-un yang merupakan anak bongsu. Jong-nam yang berada di luar DPRK pula suka mengkritik Jong-un secara terbuka.

Berkali-kali percubaan membunuh telah dilakukan ke atas Jong-nam. Jong-nam pernah kelihatan muncul di Malaysia pada tahun 2014. Kemungkinan besar, kejadian semalam adalah dirancang oleh Jong-un untuk menamatkan riwayat Jong-nam.

2. Ada konspirasi untuk membabitkan Malaysia dalam konflik US-China? DPRK proksi China?

Ada yang kata kalau DPRK serang Malaysia, maka US boleh bercampur tangan dan berperang dengan China. Ada pula yang kata, Malaysia rapat dengan China, DPRK proksi China ... bingo!

Tidak, DPRK bukan proksi China, malah mereka paling pantang dilihat sebagai proksi China. Walaupun DPRK sebuah negara komunis, pengasas DPRK iaitu Kim Il-sung (datuk kepada Jong-un) tidak mahu DPRK menjadi hamba kepada Soviet ataupun China. Dia mencantas puak-puak pro-Soviet dan pro-China di bawahnya dan mengisytiharkan “Juche” (berdikari, bebas) sebagai ideologi rasmi DPRK pada tahun 1977. Tapi nak “Juche” macam mana sedangkan Soviet dan China itu kuasa besar, DPRK ini negara kecil? Jawapannya adalah nuklear.

Program pembangunan nuklear DPRK bermula sekitar 1980-an, tujuannya adalah untuk mencegah Soviet atau China dari membulinya. Dalam hubungan antarabangsa, senjata nuklear juga dikenali sebagai “the great equalizer” sebab ia dapat menyamaratakan kedudukan sebuah negara kecil dengan kuasa-kuasa besar yang mempunyai senjata nuklear (US, Soviet/Russia, China dan sewaktunya). Selepas Perang Dingin tamat pada 1991, rejim DPRK berada di ambang keruntuhan kerana satu per satu negara komunis telah digulingkan. Maka Kim Jong-il mula menggunakan senjata nuklear sebagai alat dasar luar untuk memaksa kuasa-kuasa besar menunduk kepada kehendaknya demi menjamin kelangsungan Dinasti Kim. Hebat kan?

Strategi DPRK ini dikenali sebagai “nuclear brinkmanship”. Modus operandinya adalah (1) DPRK membuat ujian peluru berpandu (“missile”) yang mempunyai keupayaan nuklear untuk memaksa (2) US berunding dengan DPRK demi menjamin keselamatan sekutunya iaitu Korea Selatan dan Jepun maka (3) DPRK meminta bantuan kewangan sebagai syarat untuk tidak mengganas. Kalau US mungkir janji atau DPRK rasa kesuntukan sumber, ulang balik langkah No. 1.

“Brinkmanship” yang sama juga dipakai ke atas hubungannya dengan China. Walaupun China kurang berpuas hati dengan DPRK, namun DPRK penting sebagai negara penyangga (“buffer state”) yang boleh menghalang tentera US yang bertapak di Korea Selatan. Jadi, mau tak mau China terpaksa melindungi DPRK dengan membekalkan sumber ekonomi yang diperlukannya (China ialah pembekal bantuan terbesar DPRK).

3-4 tahun kebelakangan ini, China cuba mengubah strategi. Xi Jinping (Presiden China) cuba berbaik-baik dengan Park Geun-hye (Presiden Korea Selatan) untuk memujuknya membatalkan hubungan pakatan Korea Selatan dan US. Kalau US berundur dari Semenanjung Korea, maka DPRK tidak lagi penting. Kalau tak penting tak guna lagi DPRK “blackmail” China. Lalu apa Kim Jong-un buat? Tembak peluru berpandu sebagai amaran.

3-4 hari yang lepas, Shinzo Abe berjumpa dengan Donald Trump untuk mengukuhkan hubungan US-Jepun. Lalu apa Kim Jong-un buat? Tembak lagi sebiji peluru berpandu sebagai amaran. Walaupun DPRK sebuah negara yang miskin dan kedudukannya dikepung oleh 5 negara (China, Russia, Korea Selatan, Jepun, US), ia berjaya mempermainkan negara-negara di sekelilingnya untuk kepentingannya.

Jadi, bom nuklear yang dibuat susah payah oleh DPRK bukan untuk digunakan secara suka-suka tetapi untuk mengukuhkan kepentingan geopolitik DPRK. Kim Jong-un bukan gila. Dia, ayahnya, atuknya semua adalah aktor yang rasional dan bijak dalam memelihara kepentingan Dinasti Kim. Propaganda Hollywood (seperti filem “The Interview”) yang membuat orang ramai anggap DPRK ini gila. Ye lah, kalau ikut piawai Hollywood, Trump gila, Putin gila, Kim Jong-un gila, semua gila. Mereka saja yang betul, mereka saja yang normal.

Jadi sekarang anda faham mengapa saya boleh tidur nyenyak?

Rileks, kematian Kim Jong-nam tidak akan menyebabkan Malaysia diancam nuklear Korea Utara. Ia berpunca daripada pertelingkahan politik dalaman Korea Utara. Jangan pandai-pandai nak membabitkan Malaysia pula.

NOTA: Sebaik saja Korea Selatan mengisytiharkan ia tidak lagi memusuhi negara-negara komunis/sosialis pada 23 Jun 1973, Malaysia (yang telah mempunyai hubungan diplomatik dengan Korea Selatan) mendirikan hubungan diplomatik dengan Korea Utara pada 30 Jun 1973.

-Ayman Rashdan Wong

No comments

Powered by Blogger.