Rawat Slipped Disc dengan Pengetuk!



Rawat Slipped Disc dengan Pengetuk!
*
Tok, Tok, Tok!

Sedapnya ketuk belakang orang dengan kayu dan tukul. Katanya boleh betulkan slipped disc. Adoi, harapnya janganlah ada yang percaya. Slipped disc TAK AKAN dapat dibetulkan dengan mengetuk!

Risau betul la saya rasa. Jangan 11 ribu share tu bermakna 11 ribu manusia yang percaya dah la.

Saya akan sentuh 2 perkara sahaja bagi MENAFIKAN rawatan yang ditayangkan dalam video ini.

Sedikit mengenai Slipped Disc
*
Tulang belakang manusia terdiri daripada 33 tulang iaitu:

7 tulang Cervical (C1-C7)
12 tulang Thoracic (T1-T12)
5 tulang Lumbar (L1-L5)
5 tulang Sacrum (S1-S5)
4 tulang Coccyx

Intervertebral Disc ialah Disk (kusyen) yang melapik antara 2 tulang belakang. Ia berfungsi bagi menyerap tekanan apabila kita bergerak atau mengangkat berat. Kusyen ini boleh pecah dan struktur dalamnya (yang dikenali sebagai nucleus pulposus) boleh beralih dan menekan saraf tulang dan/atau anak saraf menyebabkan kaki menjadi lemah atau kebas.

Kesakitan tipikal yang berlaku ialah kesakitan seperti karen elektrik yang menjalar dari kawasan punggung ke belakang peha dan betis. Keadaan ini dikenali sebagai Slipped disc (atau Prolapsed Intervertebral Disc/PID). Ia paling kerap berlaku antara tulang L4L5 dan L5S1.

Penjelasan 1

Nak merawat slipped disc ni, bukan boleh main suka-suka ketuk. Garisan yang dilukis secara kasar sebegini adalah amat TIDAK TEPAT. Ketuk pun main intai-intai bawah kain.

Bagi mengetahui lokasi slipped disc, doktor akan bertanya simptom dan melakukan pemeriksaan. Kami akan tahu level mana berdasarkan pemeriksaan kerana setiap sendi peha, lutut, buku lali dan jari pesakit mewakili saraf yang berbeza dan kami tahu saraf mana yang tertekan. Diagnosis akan dapat dipastikan dengan MRI scan (disc TIDAK akan kelihatan dalam xray).

Rawatan akan diberi secara tanpa pembedahan (ubat, fisioterapi & penjagaan tulang belakang) terlebih dahulu. Majoriti pesakit akan sembuh. Bagi pesakit yang mengalami tekanan saraf yang serius sehingga menyebabkan lemah sendi dan kekebasan, pembedahan MUNGKIN perlu.

Jika pembedahan dilakukan, ia perlu dibuat selepas menjalani MRI bagi memastikan lokasi slipped disc itu. Di bilik bedah, doktor akan menggunakan Image Intensifier (xray) bagi sekali lagi menandakan kawasan yang terbabit dengan tepat sebelum prosedur dilakukan. Bukan main tanda dengan pembaris dan ketuk lebih kurang!

Penjelasan 2

Dari segi anatomi, cara sebegini nak betulkan slipped disc pun dah TAK betul. Adalah mustahil disk yang terkeluar tu boleh kembali ke kedudukan asal dengan ketukan hikmat ini.

Mari kita tengok anatomi. Kalau diketuk dari belakang macam dalam video ni, kesan ketukan TIDAK AKAN sampai pun ke disk yang terkeluar tu. Kenapa? Kerana disk yang slipped tu kat depan, bukannya dari arah belakang. (Lihat Gambar cross-section tulang belakang di bawah)

Ketuk dari arah belakang macam dalam video ni, ia akan kena kulit je, kalau ada pun kesan tekanan, yang lebam ialah otot paravertebral muscle anda kat dalam tu. Tenaga ketukan akan ditahan oleh spinous process terlebih dahulu, kalau lah nauzubillah, spinal process anda pecah, yang kena lepas tu ialah spinal cord atau saraf tunjang yang terletak di depan disk tu. Disk tak kena pun, yang kena ialah saraf tunjang anda! Habis nak rawat slipped disc, LUMPUH pula anda jadinya sebab saraf tunjang dah rosak!

Kesimpulan
*
Menurut ilmu Ortopedik, cara sebegini adalah MUSTAHIL dapat memberi apa-apa kesan kepada disk yang terkeluar itu (slipped disc). Yang jelas akan terkesan dan terkeluar ialah wang anda.

Ikhtiar tu ikhtiar la juga. Alternatif tu alternatif la juga. Tapi pastikan ada asas kebenaran dari segi logik akal. Sains tidak akan bercanggah dengan agama. Ilmu Sains akan sentiasa membenarkan apa yang tertulis dalam AlQuran.

Anda boleh baca penjelasan dan penulisan saya mengenai slipped disc dan rawatannya di www.mmgazette.com

Tolong kongsikan agar kebenaran disebarkan kepada lebih ramai daripada 11 ribu yang share video asal. Terima kasih.

#DrMahyuddin Datò Mohamed
Pakar Ortopedik HOSHAS

#MedTweetMY
#MedicalMythbustersMalaysia (M3)
#MalaysianMedicalGazette (MMG)

Rujukan

1. http://www.mmgazette.com/sakit-belakang-angkara-slipped-disc-dr-ahmad-mahyuddin/
2. Link Post asal: https://www.facebook.com/muhabsi.muhabsi/posts/759054704245457
3. Video Ketuk: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=759054317578829&id=100004228024467
4. Gambar: Wikipedia

Cc
1. Yang dihormati Datuk Dr. Hisham Abdullah DG of Health

2. Spine Consultants: Dato Dr. Fazir Mohamad, Ukm Spine, Myortho Spine, Mr. Shaharuddin Bin Abdul Rhani, Mr. Manmohan Singh, Mr. Kamalnizat Bin Ibrahim, Mr. Shahrid Zahari, Ass.Prof. Ed Simor Khan

PS Teringat pulak saya kat Pendekar Mustar dalam Pendekar Bujang Lapok mintak pengetuk nak ketuk paku kat dinding 😂

No comments

Powered by Blogger.