Isu Banjir Lumpur di Kg Bukit Besi Temangan



Isu Banjir Lumpur di Kg Bukit Besi Temangan

Banjir lumpur ini bermula apabila takungan air kolam lombong bijih besi tinggalan milik persendirian yang sudah tidak beroperasi pecah menyebabkan lumpur dan sisa-sisa bijih mengalir ke kawasan penempatan penduduk. Ia berlaku beberapa hari sebelum banjir besar 2014 akibat hujan lebat.

Persoalan pihak mana yang bersalah telah saya jawab dalam penjelasan saya pada waktu itu. Saya tidak menafikan kemungkinan ada unsur kecuaian dan kelalaian serta pertanggungjawaban pihak-pihak tertentu. Kita serahkan kepada pihak-pihak yang bertanggung jawab mengambil tindakan yang sewajarnya. Saya tidak bercadang mengulasnya lagi dan mengulangnya di sini.

Apabila berlaku banjir akhir 2016 dan awal 2017, sekali lagi penempatan ini dilimpahi banjir lumpur. Beberapa buah rumah terlibat. Ada yang bertanya apakah tindakan pihak kerajaan bagi membantu mangsa-mangsa banjir lumpur ini. Ada juga yang menuduh pihak kerajaan negeri tidak mengambil apa-apa tindakan mengatasi masalah ini dan tidak membantu mangsa. Saya ingin menjelaskannya di sini.

Semasa banjir 2014 berapa buah rumah telah terjejas dengan teruk dan ada yang musnah. Sebahagian lagi hanya mengalami kerosakan kecil. Beberapa agensi kerajaan pusat dan kerajaan negeri termasuk juga pihak tertentu membantu membina semula rumah- rumah mangsa yang musnah ini. Ada yang dibina di tempat asal dan ada di kawasan yang lain. Rumah yang musnah digantikan dengan rumah baru. Untuk makluman, rumah yang dibina di tempat asal adalah atas persetujuan penduduk sendiri. Mungkin mereka tidak mahu berpindah ke tempat lain atau mungkin juga tidak mempunyai tapak lain selain dari tapak yang asal.

Apabila berlaku hujan lebat dan banjir pada akhir 2016 dan awal 2017, air serta lumpur yang melalui alur di belakang penempatan tersebut melimpah dan masuk ke beberapa buah rumah penduduk termasuk juga rumah yang dibina selepas banjir 2014. Saya sendiri meninjau suasana ini sejurus selepas ianya berlaku. (Untuk maklumat tambahan, selepas ianya mula berlaku pada 2014, kita berusaha bersama beberapa pihak termasuk pejabat Tanah Machang dan JPS memantau dan membuat tindakan dari masa ke semasa untuk membantu penduduk. Beberapa pihak lain yang perihatin juga datang meninjau dan menghulurkan bantuan).

Bagi mengelak daripada kejadian yang sama berulang di masa hadapan, pihak kerajaan negeri bercadang memindahkan kesemua keluarga yang terlibat dan yang berdekatan ke penempatan baru yang lebih baik dan lebih selamat. Sebanyak 24 buah keluarga yang akan terlibat dengan rancangan ini. Kerajaan negeri telah mengenal pasti tanah milik kerajaan negeri berdekatan dengan bandar Temangan dan tidak jauh dari kampung asal mereka bagi dijadikan penempatan baru ini.

Beberapa siri perbincangan telah diadakan antara pihak Pegawai Daerah, penggawa dan penghulu bersama dengan penduduk yang terlibat. Kerajaan negeri akan memberikan lot-lot tanah baru kepada mereka sebagai menggantikan tanah asal mereka lengkap dengan prasarana dan berusaha untuk memberikan rumah kediaman baru kepada mereka. Selain dari kerajaan negeri, telah ada beberapa pihak lain yang memberikan kesanggupan untuk membantu mendirikan rumah-rumah untuk mereka secara percuma. Kerajaan negeri sangat mengalu-alukan sebarang bantuan dari mana-mana pihak. Sementara rumah-rumah baru ini siap, mereka akan ditempatkan di kediaman sementara yang akan diusahakan oleh pihak pentadbir tanah Machang.

Kita amat memahami kesusahan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa terbabit. Sekiranya terbukti ada kelalaian atau kecuaian mana-mana pihak, kita akan pastikan mereka diambil tindakan yang sewajarnya. Pihak penduduk yang mengalami kerugian juga boleh mengambil apa-apa tindakan yang sewajarnya di atas kerugian yang ditanggung. Kita juga mengharapkan agar semua pihak dapat bersama membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir lumpur ini. Terima kasih kepada semua yang perihatin.

YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Dato Hassan.
Adun Temangan (Exco Kerajaan Negeri Kelantan)

No comments

Powered by Blogger.