Abdullah terima peletakan jawatan Zaid Ibrahim

KEPALA BATAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menerima peletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Abdullah berkata beliau menerima panggilan telefon daripada Zaid hari ini yang memaklumkan bahawa beliau tetap mahu meletakkan jawatannya.

"Dia (Zaid) beritahu pada saya pagi tadi dalam telefon yang dia tidak dapat teruskan kerja dia dan dia hendak letak jawatan. Sekiranya itulah pilihan dia yang tegas hendak letak jawatan, silalah letak jawatan... saya tidak ada komen apa-apa," katanya.

Perdana Menteri bagaimanapun belum membuat keputusan mengenai pengganti Zaid.

Abdullah berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan dermasiswa kepada 82 pelajar daripada 16 buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Dewan Seri Endon, Yayasan Budi Penyayang sini hari ini.

Hadir sama ialah isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah, anaknya Nori serta menantunya, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif yayasan itu Datuk Leela Mohd Ali.

Dalam sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya hari ini, Zaid tetap dengan keputusannya untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri walaupun diminta Abdullah supaya memikirkannya semula.

Ditanya mengenai alasan Zaid bahawa beliau tidak mendapat sokongan untuk melakukan perubahan, Perdana Menteri berkata apabila menjadi Menteri, pasti ada masalah dan kesusahan yang terpaksa dihadapi.

Sebagai menteri, katanya mereka perlu bersabar kerana bukan senang untuk melakukan sesuatu perubahan.

"Bila kita bekerja sebagai menteri ada masalah yang kita hadapi dan kesusahan yang kita hadapi, kita kena sabar, bukan senang untuk buat sesuatu perubahan dalam hal apa juga pun," katanya.

Mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini yang mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Sanglang di Perlis dimenangi oleh Pesuruhjaya Pas negeri itu, Hashim Jasin, Perdana Menteri berkata Barisan Nasional menerima keputusan yang diputuskan oleh mahkamah. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.