Cuti 16 September: Perak kaji laksana tahun depan, Kedah belum putus

(Mutakhir) PETALING JAYA: Perak memutuskan tidak akan menjadikan 16 September tahun ini sebagai cuti umum negeri itu, namun akan mempertimbangkan perkara tersebut untuk dilaksanakan tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi berkata, kerajaan negeri dalam mesyuarat Exconya hari ini mengambil keputusan tidak akan memberikan cuti minggu depan memandangkan 17 September adalah cuti umum bagi negeri Perak sempena Nuzul Quran.

"Memandangkan 17 haribulan (Sepetember) dah cuti, tidak perlulah 16 haribulan pun cuti juga. Lagipun, nanti susah kita kena beritahu semula kepada pihak yang sudah pun menyusun program sepanjang bulan Ramadan ini.

"Walaupun kita tidak bagi tahun ini tapi tahun depan mungkin akan dilaksanakan.Kita akan bincangkan lagi perkara ini nanti," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, kerajaan negeri itu belum mengkaji dan membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.

"Perkara (cuti) itu, kita akan tengok kepada keperluan negeri. Kalau perlu, perlu," katanya.

Semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan Kelantan bersetuju dengan cadangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan 16 September iaitu tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia, sebagai cuti umum.

Pulau Pinang menurut Ketua Menterinya, Lim Guan Eng akan mempertimbangkan perkara itu.

Ahad lalu, Anwar dalam ucapannya di Permatang Pauh mencadangkan supaya pimpinan pembangkang di lima negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat mengisytiharkan 16 Sepember sebagai cuti umum.

No comments

Powered by Blogger.