Label Cina pendatang: MCA sambut baik mohon maaf Najib, DAP tolak

(Dikemas kini) NILAI: MCA mengalu-alukan permohonan maaf yang dibuat oleh para pemimpin Umno berikutan kenyataan berbau berkauman yang dilakukan Ketua Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail di Permatang Pauh baru-baru ini.

Tanpa menyatakan sama ada beliau berpuas hati dengan permohonan maaf itu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting berharap semua pihak akan memandang ke hadapan dan mereka yang melakukan kesilapan menyedari kesalahan mereka terhadap sensitiviti perkauman di negara ini.

Beliau berharap selepas ini tidak ada lagi pemimpin politik mempertikaikan kedudukan mana-mana kaum di negara ini sehingga boleh mengguris perasaan kerana pada masa sama, kerajaan menuntut semua kaum bersatu padu.

"Saya menghargai tindakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memohon maaf bagi pihak Umno dan sudah tentu ia akan dapat menyenangkan perasaan masyarakat bukan Melayu," kata beliau dipetik Bernama.

Terdahulu beliau merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-15 dan Persidangan Pendidikan Tahunan 2008 Majlis Pengetua Sekolah-sekolah Menengah Conforming Malaysia di Kolej Universiti Antarabangsa INTI, di sini.

Ahmad dalam satu kempen politik semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh baru-baru ini, menyatakan bahawa orang Cina hanyalah kaum pendatang di negara ini dan tidak berhak diberi keistimewaan sama rata dengan kaum bumiputera.

Bagaimanapun DAP menyifatkan kenyataan mohon maaf Najib semalam tidak mencukupi dan tidak boleh diterima kerana ia tidak diluahkan oleh Ahmad.

Dalam kenyataan yang diposkan dalam laman webnya hari ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberikan lima sebab mengapa permohonan maaf Najib bagi pihak Ahmad sebagai "tidak bersesuaian, tidak memadai dan tidak boleh diterima."

Lim berkata, pihaknya terkilan kerana Ahmad sendiri tidak memohon maaf, malah tidak sedikit pun menunjukkan rasa kesal atas kenyataan tersebut sehingga kini.

"Pertama, tiada respons publik daripada Ahmad sendiri. Kedua, bagaimana Najib boleh memohon maaf bagi pihak Ahmad sedangkan Ahmad terus degil dan masih tidak kesal (dengan kenyataannya)?

"Meskipun Ahmad memohon maaf akan timbul persoalan sama ada ia memadai memandangkan dalam kes Wee Meng Chee dalam isu lagu rap Negaraku (tahun lalu), Kabinet menolak permohonan maafnya sebagai tidak mencukupi," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur itu.

Selepas beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Ahmad di bawah Akta Hasutan, soal Lim, adakah permohonan maaf Najib yang juga Timbalan Presiden Umno bermakna Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera itu akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

  • Label Cina pendatang: Siasatan atas Ahmad Ismail siap Jumaat ini
  • Label Cina pendatang: Umno mohon maaf kepada bukan Melayu
  • No comments

    Powered by Blogger.