Dasar BN Semua Pemimpin Mesti Melawat Mangsa Bencana

PEKAN, 7 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata adalah menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya semua pemimpinnya melawat mangsa bencana bagi mengenalpasti bentuk bantuan yang diperlukan golongan terbabit.

Timbalan Perdana Menteri berkata pemimpin BN atau wakil rakyatnya juga seharusnya perlu menjadi orang pertama "turun padang" apabila setiap kali berlaku bencana supaya mereka dapat melihat sejauh mana usaha yang diperlukan untuk membantu yang terbabit.

"Kita mengarahkan semua pemimpin dan wakil rakyat kalau ada apa-apa (malapetaka atau musibah) mereka mesti turun ke padang, malah antara orang pertama berada di tempat kejadian berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Umno bahagian Pekan di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mempertahankan tindakannya tidak turun padang untuk meninjau keadaan mangsa ribut di beberapa kampung di Selangor dengan menganggap perbuatan tersebut sebagai membuang masa dan membazir wang, Najib berkata: "Itu pandangan dia.., rakyat boleh buat tafsiran (sendiri).

"Tapi pada saya, sebagai seorang pemimpin sama ada ketua kerajaan negeri atau pemimpin di peringkat pusat, melawat mangsa malapetaka seperti ribut, kebakaran, banjir adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebagai seorang pemimpin, bila kita melawat ia memperlihatkan keprihatinan kita kepada anggota masyarakat kita yang ditimpa bencana", katanya.

Najib berkata: "(Apabila melawat kita akan dapat) melihat sejauh mana usaha kerajaan membantu mereka, apa yang diperlukan dan apa yang patut dilakukan kerajaan. Bila kita melihat keadaan dengan mata kepala sendiri, ia lebih jelas daripada mendengar daripada mana-mana pihak.

"Saya fikir amat wajar seorang pemimpin turun padang, melawat mereka yang ditimpa malapetaka, musibah kerana ia mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat," kata beliau.

Mengulas kenyataan pemangku presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada persidangan perwakilan Gerakan Selangor hari ini yang mengulangi kenyataannya sebelum ini iaitu akan mengkaji semula kedudukan mereka dalam BN, Najib berkata:

"Mereka belum buat apa apa keputusan nak keluar daripada Barisan Nasional dan kita menghargai peranan semua parti komponen dan apa-apa masalah berlaku (akan) dirundingkan dengan semangat Barisan Nasional dan perkara ini kita akan bincang dalam mesyuarat Dewan tertinggi (BN) yang akan diadakan dalam sedikit masa lagi," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan itu bersikap ugutan, Najib berkata: "Saya tidak anggap sebagai "ugutan" dan sampai peringkat Gerakan akan keluar Barisan Nasional, apa yang penting kita berbincang, dan cari jalan terbaik untuk jaga keharmonian setiakawan kita dalam Barisan Nasional".

Najib yang juga anggota Parlimen Pekan kemudian menghadiri majlis berbuka puasa dan menyampaikan bantuan kepada fakir miskin di Masjid Ketapang, dekat sini.

-- BERNAMA

kalau turun bawa geng sampai 40 orang+wartawan+kameraman dan banyak lagi buat apa jib?yang tu wat berabih borah jo... dah la turun sebulan sekali.....chipsmore!!!!!!!!!!

No comments

Powered by Blogger.