ISA: Pemimpin BN Tidak Sehaluan, Suhakam Bantah, Islam Tolak!
Penangkapan tiga orang iaitu masing-masing seorang penulis blog, wartawan dan ahli politik di bawah Akta ISA pada Jumaat lalu, menimbulkan ketegangan dalam BN dan seluruh negara ekoran kecaman yang dilontarkan.
Menteri Undang-undang Tidak Setuju
Ramai yang tidak bersetuju akta ISA digunakan. mStar On-Line melaporkan bahawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berpendapat ISA tidak harus digunakan terhadap orang awam seperti wartawan dan ahli-ahli politik.
Bagi beliau sudah tiba masa bagi kerajaan Persekutuan kembali kepada matlamat asal penggubalan ISA, yang digubal untuk mengawal komunis, ataupun pada hari ini untuk menangani pengganas ataupun mereka yang hendak menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan.
MIC Anggap Ianya Bertentangan
Bagi Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Subramaniam pula, negara mempunyai cukup undang-undang untuk digunakan terhadap pelbagai kelakuan yang terpesong, tidak bertanggungjawab dan berbahaya.
“Mengapa undang-undang ini tidak digunakan? Individu yang ditahan (di bawah ISA) tanpa didengar penjelasan dan peluang membela diri adalah bertentangan dengan kepercayaan yang kita amalkan pada masa ini.
“Setiap kali seseorang itu ditahan di bawah ISA, ia akan menimbulkan tanggapan bahawa kerajaan melakukannya kerana tidak mampu untuk mendakwa dan menghukum orang itu di bawah undang-undang yang sedia ada di negara ini,” katanya dalam satu kenyataannya.
MCA Kata ISA Hanya Untuk Bendung Komunis dan Teroris?
mStar turut melaporkan bahawa MCA berpendapat bahawa jika ISA benar-benar perlu, ia sepatutnya hanya digunakan dalam kes yang sangat ekstrem.
Presidennya Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, “Jika tidak Akta ini sendiri adalah satu ancaman terhadap peraturan perundangan dan asas kebebasan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan kita,” katanya.
Ong berkata, penggubal ISA sendiri, mendiang Profesor RH Hickling, pernah berkata bahawa akta tersebut hanya untuk melawan pemberontak Komunis dan mereka yang terlibat dalam perjuangan bersenjata.
“Jika benar keselamatan negara terancam, mesti ada bukti kukuh untuk membuktikannya. Jika tidak mereka yang ditahan (mengikut ISA) perlu didakwa di mahkamah di mana terdapat undang-undang yang mencukupi untuk tujuan itu,” katanya.
Suhakam Mahu ISA Dimansuhkan
Pesurujaya Suhakam, Datuk Siva Subramaniam pula, mengesa Kerajaan agar memansuhkan Akta ISA kerana dianggap melanggari Hak Asasi Manusia. Suhakam melalui laporan tahunan yang dibentangkan di Parlimen, sentiasa mengemukakan saranan sedemikian dan membantah keputusan Kerajaan mempertahankan Akta berkenaan.
Melalui temubual bersama Radio Bernama pagi ini, beliau juga mengesahkan bahawa Suhakam akan bertemu dengan 70 orang tahanan ISA di Kamunting hari ini bagi mendapatkan pandangan dan keluhan mereka berhubung akta ISA.
Malaysia mempunyai banyak undang-undang yang boleh digunakan dan sewajarnya setiap rakyat yang dituduh haruslah dibawa ke Mahkamah untuk dibicarakan bukannya di tahan tanpa bicara melalui akta ISA.
Siva juga mengakui bahawa rakyat kini semakin bijak dan para pelajar sekolah juga sudah memahami soal Hak Asasi dan kezaliman ISA. Sikap Kerajaan yang mempertahankan akta ini pada hari ini hanya akan mengundang perasaan benci dan protes dari seluruh lapisan rakyat. Malah jumlah protes ini akan meningkat seiring dengan kempen-kempen yang dianjurkan oleh GMI dan NGOs lain.
Ini akan memberikan suatu imej yang buruk kepada Kerajaan BN yang dianggap sebagai kumpulan yang memanipulasikan undang-undang untuk menjaga kepentingan politik mereka. Kekhuatiran pemimpin BN terhadap 16 September menjadi punca akta ini digunakan lagi.
Menteri Dalam Negeri Berbohong!
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dalam kenyataannya pula berkata ketiga-tiga mereka ditahan bagi memastikan ketenteraman negara adalah terkawal.
Kenyataan beliau itu jelas membohongi rakyat kerana sehingga kini kita tidak melihat sebarang kekacauan yang serius berhubung tindakan ketiga-tiga orang yang ditahan. Isu perkauman memang akan terus berbangkit selagi parti perkauman seperti Umno, MCA dan MIC terus wujud.
Tindakan pihak Polis yang menahan wartawan itu atas alasan ingin melindungi beliau kerana laporan yang ditulis dalam akhbar adalah suatu alasan yang tidak logik. Sekiranya benar ada ancaman kerana tindakannya itu, maka laporan akan datang dari wartawan itu sendiri dan beliau behak mendapatkan perlindungan bukannya ditahan dibawah akta ISA. Malah pihak Polis yang mengatakan bahawa nyawa wartawan itu dalam bahaya seharusnya bertindak terhadap individu atau kumpulan yang dikata cuba untuk membahayakan beliau.
Tindakan kelam-kabut ini menimbulkan rasa kurang senang rakyat dan pihak Polis dan Menteri harus meminta maaf secara terbuka dan memberikan perlindungan yang sewajarnya kepada wartawan berkenaan walaupun telah membebaskannya Sabtu lalu.
Akta ISA bertentangan dengan Islam
Walau apa jua kesalahan mereka Akta ISA tidak sewajarnya digunakan kerana masih ada ruang lain untuk digunakan untuk membicarakan mereka.
Tindakan mempersoalkan amalan dan juga kepercayaan umat Islam adalah suatu kesalahan, walaubagaimana pun Islam mengajar agar sesuatu kesalahan itu hendaklah diambil tindakan melalui siasatan dan perbicaraan yang adil. Sekiranya dia seorang muslim hendaklah diajak bertaubat dan jika bukan muslim dia hendaklah minta maaf. Tindakan menghukum boleh dilakukan setelah proses keadilan dijalankan dan ini menunjukan Islam bukanlah agama yang zalim kerana mereka yang melakukan kesalahan tetap diberikan hak untuk bela diri.
Akta ISA bukanlah acuan Islam kerana ianya merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap keadilan sistem perundangan yang digubal sekaligus menunjukan rasa takut dan lemahnya kerajaan yang ada sekarang.
Oleh itu secara keseluruhannya, Kerajaan haruslah mengambil langkah-langkah yang lebih pragmatik dan adil dalam menguatkuasakan tuntutan rakyat. ISA umpama kudis yang melekat dalam sistem perundangan negara dan ianya akan terus berada disitu selagi Kerajaan BN tidak ditumbangkan!
No comments
Post a Comment