Islam dan PAS dalam kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat

"Oleh: Ahmad Fitri Yusof
http://wajahesok.blogspot.com


Saya gembira membaca tulisan Ust Nasarudin Tantawi yang bertanya Bagaimana Kerajaan Selepas 16 September Ini?. Sekurang-kurangnya saya perolehi satu tulisan yang kritikal dan analitikal terhadap apa yang akan berlaku kepada Islam pada masa akan datang.

Sikap beliau yang ingin tahu tentang rupa bentuk negara yang akan ditubuhkan oleh Datuk Seri Anwar itu amat terpuji. Terang lagi bersuluh, seperti yang dikatakan olehnya, kedudukan Islam masih belum pasti. Adakah semakin baik atau semakin luntur.


Saya petik tulisan beliau:


Saya tanya dengan pimpinan atasan PAS , rupanya mereka juga tidak tahu menahu mengenai rupa wajah kerajaan yang bakal dibentuk. Saya bertanya kepada orang yang kuat menyokong pun , mereka tak tahu bagaimana bentuk kerajaan tersebut . Mereka hanya jawab , kita kalahkan UMNO dulu . Mereka hanya menyokong tanpa mengetahui apa sebenarnya yang mereka sokong.


Sekurang - kurangnya kita boleh bersandar kepada pimpinan kita dengan penuh keyakinan dan kepercayaan kita kepada pimpinan . Tapi ..... kalau dah pimpinan tertinggi PAS pun tak tahu apa tentang bentuk kerajaan yang bakal ditubuh , kita nak sokong macam mana ? tak kan nak sokong buta begitu sahaja ? tanpa kita tahu apa yang akan kita sokong ?


Saya nak tanya saudara , saudara tahu tak bagaimana bentuk kerajaan yang bakal ditubuhkan itu ? atau saudara hanya menyokong tanpa mengetahui apa - apa ? hanya kerana mahu UMNO dijatuhkan .


Siapa yang bakal jadi perdana menteri , timbalan (perdana) menteri , anggota kabinet dan bagaimana pula dasar negara malah banyak lagi perkara yang tidak mempunyai satu keputusan yang jelas terutama antara kompenan parti pakatan rakyat .


Saya secara individu menyifatkan ini bukan kerajaan Pakatan Rakyat tetapi lebih kepada Kerajaan Anwar . Kerana pimpinan Pakatan Rakyat yang lain ( selain Anwar dan orang - orang kanannya ) , terutama pimpinan PAS , mereka juga tidak tahu menahu bagaimana perancangan ke arah membentuk kerajaan tersebut , bagaimana ia akan dibentuk dan siapa yang akan menganggotai kerajaan itu ???


Apatah lagi bila ditanya bagaimana kedudukan Islam . Apakah jaminan untuk Islam dalam Kerajaan baru kelak . Sehingga hari ini belum ada satu jaminan dari pendirinya bahawa Islam pasti diberi jaminan agar ia berada di tempatnya yang layak .



Bagi PAS penyertaan dalam kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat bukan perkara kecil. Pertama, jika ia berlaku penyertaan ini adalah pengalaman pertama PAS menyertai sebuah kerajaan berdaulat yang tidak berasaskan Islam sejak kepimpinan ulama (yang diinstitusikan melalui Majlis Syura Ulama). Maka penyertaan ini perlu diperhalusi melalui hujah syari' yang kukuh dan berpulur. Soal ini pernah saya ulas dalam tulisan saya yang lalu (Bolehkah PAS menyertai pemerintahan tidak berasaskan Islam?).

Kedua, kedudukan PAS yang minoriti iaitu 23 kerusi dari lebih 112 kerusi tentunya mewujudkan persoalan besar tentang kedudukan Islam dalam pemerintahan. Jika merujuk kepada formula Pakatan Rakyat dalam pembahagian kuasa eksekutif yang terikat dengan komposisi parti dalam badan legislatif seperti dalam nisbah pembahagian kerusi exco di Perak, maka peratusan ahli kabinet Muslim mungkin lebih kecil berbanding yang ada sekarang. (Kecuali jika pelompat itu majoritinya dari UMNO). Maka, satu jaminan yang lebih meyakinkan tentang kedudukan kuasa Muslim amat diperlukan.

Ketika mula-mula memberikan komen dalam isu muzakarah, saya pernah menyentuh tentang perlunya rundingan tersebut. Saya ulas:

Cuma perlu diingat, bila kita ada rakan dalam pakatan politik, jangan pula mengenepikan rakan. Bagi saya, muzakarah itu perlu terbuka, dan dilaporkan kepada rakan-rakan lain. Jangan sampai muzakarah bertukar jadi rundingan politik.


Kaedah ini juga terpakai untuk PKR dan DS Anwar. Saya tak tahu sama ada beliau berbincang dan melaporkan kepada rakan-rakan PAS dan DAP atau tidak, ketika berunding dengan ahli-ahli Parlimen yang akan lompat. Sepatutnya beliau telus dengan menjelaskan semua perkara kepada rakan pakatan: siapa yang dirunding, apa yang dirunding, apa 'tawaran' (jika ada), dan segala-galanya berkaitan rundingan itu. Perlu telus. Barulah pakatan politik ini membawa makna.


Bahkan sepatutnya, pihak yang mewar-warkan penubuhan kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat (PKR dan DS Anwar) sepatutnya terlebih dahulu berunding dengan rakan-rakan tentang bentuk kerajaan, pembahagian kerusi kabinet, dan rangka asas kerajaan sebelum sibuk menarik masuk ahli Parlimen BN melompat ke PR. Saya tak pasti adakah tindakan ini sudah dibuat atau tidak. Zahirnya nampak seolah-olah tiada kesepakatan padu dalam mencanag idea penubuhan kerajaan PR yang diwar-warkan itu.

Sebagaimana PAS diminta untuk telus dan tidak membelakangi rakan, demikianlah PKR dan Anwar juga perlu sentiasa telus dan tidak membelakangkan PAS dan DAP.


PAS sebagai parti Islam perlu menjadi contoh kepada rakan lain. Dalam berjanji dan bersahabat, ada akhlak dan kaedahnya. Jika rakan lain tersasar PAS perlu tegur dan perbetulkan. Usahlah bertindak membalas kesilapan rakan lain dengan satu kesilapan di pihak PAS pula. Harapan rakyat khasnya pencinta Islam kepada PAS amatlah tinggi untuk melihat PAS mampu menjadi sebuah parti yang bersedia untuk memerintah dan bijaksana dalam bersepakat demi kebaikan rakyat.



Rupa-rupanya sangkaan saya tepat, seperti yang disebut oleh Ust Tantawi. Inilah yang mendukacitakan. Bagi saya inilah punca kenapa sebahagian pimpinan PAS kelihatan tidak bersungguh-sungguh untuk seiring mendokong penubuhan kerajaan PR 16 September ini.

Walau bagaimana pun, perkembangan ini tidak sepatutnya menjadikan PAS bersikap pasif dan sekadar menunggu. Sepatutnya, PAS yang berakarkan Islam dapat mengemukakan satu garis panduan khusus tentang bentuk kerajaan yang boleh disertai dan sebaliknya. PAS juga boleh menyenaraikan syarat-syarat penyertaan dalam kerajaan pakatan itu. Perlu juga disenaraikan situasi-situasi yang memerlukan PAS keluar dari sesuatu kerajaan pakatan. Hal ini pernah juga saya ulas ketika mengajak agar Tahaluf Siyasi PAS ditajdidkan kembali. Selepas enam bulan PRU 12, nampaknya belum ada satu langkah konkrit ke arah itu.

Baru-baru ini Tuan Guru Presiden PAS telah menyebut bahawa PAS tidak kisah siapa yang menjadi Perdana Menteri, asalkan pemimpin itu dapat mendaulatkan Islam. Alhamdulillah, kenyataan itu dijadikan tajuk muka hadapan Harakah. Bagi saya kenyataan beliau bukanlah satu syarat, tetapi satu isyarat. 'Mendaulatkan Islam' tidak boleh menjadi syarat dalam pakatan kerajaan yang tidak berasaskan Islam. Jika PAS berkeras menjadikannya sebagai syarat, maka hampir pasti penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat hanya tinggal harapan. DAP dan sebahagian MP PKR akan menolak sekeras-kerasnya syarat 'mendaulatkan Islam' (baca 'Agenda Negara Islam PAS'). Namun apa yang disebut oleh TG Abd Hadi lebih berbentuk isyarat.

Isyarat, supaya DS Anwar tengok belakang dahulu sebelum gopoh ke depan. Isyarat supaya semua menyedari bahawa PAS mempunyai syarat sebelum menyertai kerajaan Pakatan Rakyat. Isyarat bahawa PAS tidak akan membiarkan Islam terpinggir dalam kerajaan baru nanti."

No comments

Powered by Blogger.