kecatatan bukan penghalang!
Azhar Atan berjaya mengatasi kekurangan diri, sering mendapat pujian juri dalam program Akademi Nasyid
KECACATAN penglihatan tidak menghalang jejaka dari negeri selatan tanah air ini membuktikan bakat yang dianugerahkan Tuhan digunakan sebaik mungkin. Masyarakat semakin bijak menilai yang mana kaca dan yang mana permata.
Pujian yang sering diberikan juri setiap minggu tidak sedikit pun membuatkan Azhan Atan meninggi diri malah segala pujian itu dijadikan pegangan untuk dia sentiasa berhati-hati dalam matlamatnya menamatkan program Akademi Nasyid dengan sempurna. Sepanjang menyertai program itu juga sekali pun dia tidak pernah bermimpi trofi dan wang tunai bernilai RM100,000 itu akan menjadi miliknya.
Bagaimanapun, dia yang sebelum ini hanya meminati bidang nyanyian sekadar untuk menghiburkan diri dan melapangkan dada di kala tekanan, akhirnya dinobatkan sebagai juara setelah berjaya memikat hati penonton dan juri.
Walaupun peserta lain turut memberi saingan sengit, barangkali sudah menjadi rezekinya malam pertandingan itu yang diadakan ketika seluruh rakyat Malaysia sedang sibuk menyambut merdeka dan umat Islam sedang sibuk membuat persiapan menjelang Ramadan.
GEMBIRA: Azhan bersama isteri dan anak serta replika cek hadiah utama juara Akademi Nasyid. |
"Hanya syukur kepada Tuhan mampu saya katakan apabila menerima kemenangan ini. Secara jujur saya tidak mengharapkan terlalu tinggi sehingga mencapai kemenangan ini.
"Apa yang saya lakukan sebelum ini hanyalah sekadar untuk kepuasan diri. Semuanya berlaku secara kebetulan. Dari awal lagi sebelum menghadiri sesi uji bakat saya hendak membayar pinjaman kereta dan secara kebetulan sesi uji bakat itu diadakan dekat dengan bank dan saya pun pergilah.
"Bermula dari situlah saya merasakan yang saya sebenarnya mempunyai bakat yang tidak dimiliki oleh semua orang yang senasib dengan saya," katanya.
Menceburi bidang baru dalam hidupnya adalah sesuatu yang janggal dirasainya, namun berkat sokongan dan doa isteri tercinta, Azhan berjaya menolak kekurangan yang dirasai pada dirinya.
BERI SAINGAN: Persembahan kumpulan D'Vision tidak kurang hebatnya. |
"Setiap minggu pulang ke rumah selepas berakhirnya setiap episod, saya akan bersedia dengan latihan dan isteri sayalah yang akan memberi kritikan apa yang harus dilakukan dan apa yang tidak baik dilakukan semasa menyanyi.
"Apa yang ditegur itu adalah mewakili pendengar, baik katanya maka baiklah yang didengar pendengar yang mengundi saya. Jadi kemenangan ini adalah juga kemenangan kepada semua masyarakat yang menilai saya," katanya yang sentiasa ditemani isteri setiap kali konsert mingguan sehingga peringkat akhir.
Dengan kemenangan itu, Azhan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, sijil berserta hamper yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
No comments
Post a Comment