Kementerian Pelajaran Putuskan Teruskan PPSMI Atau Tidak Selepas Keputusan UPSR 2008

SUNGAI PETANI, 14 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelajaran akan memutuskan untuk mengekalkan atau tidak dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) selepas keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 diumumkan pada penghujung tahun ini.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian tidak boleh mengubah dasar PPSMI secara drastik mengikut kehendak beberapa pihak khususnya badan bukan kerajaan (NGO) kerana proses penilaian mengenainya sedang dijalankan.

"PPSMI yang sedang berlangsung perlu dilaksanakan sehingga tamat tempoh iaitu kepada penghujung tahun ini," katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas desakan Persidangan Meja Bulat NGO Melayu yang memberi alasan Bahasa Inggeris gagal membantu murid-murid menguasai Sains dan Matematik yang disiarkan akhbar hari ini.

Ahli Jawatankuasa Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata analisis UPSR 2007 menunjukkan 30 peratus atau kira-kira 140,000 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) gagal memahami langsung subjek Sains dan Matematik yang diajar menerusi sistem PPSMI.

Hishammuddin yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anak yatim dan ibu tunggal oleh Pertubuhan Belia Nur Kasih dan Pergerakan Puteri Umno Kedah di sini malam ini, berkata kementerian berpendapat masa paling sesuai untuk mengumumkan penyesuaian dengan kehendak pihak-pihak berkenaan ialah selepas keputusan UPSR 2008 diumumkan.

"Memang ada desakan sama ada kita ubah balik (ke dalam bahasa Malaysia) atau kekal, datang daripada kedua-dua belah pihak. Oleh sebab itu, kita perlu melihat pandangan secara menyeluruh dan masa yang realistik diperlukan," katanya.

Hishammuddin berkata beliau tidak akan membelakangkan sebarang keputusan ataupun cadangan yang dibuat melalui Persidangan Meja Bulat tersebut termasuk hasil persidangan kali ketiga yang sedang berlangsung dan membincangkan sebanyak 16 kertas kerja.

"Ada yang sokong, dan ada juga tidak sokong. Bagaimanapun, sehingga kini belum ada cadangan sahih yang membolehkan kita merumuskan ia perlu diubah sekarang," katanya.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.