lim...wa respek sama lu

PULAU PINANG: Kira-kira 10,000 kakitangan kerajaan Pulau Pinang akan menikmati bayaran bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 seperti yang dinikmati oleh kakitangan awam Persekutuan, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Beliau berkata kaedah pembayaran akan dibuat mengikut saranan yang diputuskan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

“Kita akan memberikan bonus sebulan gaji kepada kakitangan negeri dan cara pembayaran serta jumlahnya adalah mengikut apa yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Abul Kassim. Lim berkata bagi menjelaskan bayaran bonus itu kerajaan negeri perlu membelanjakan kira-kira RM8 juta dan berharap pembayaran ini dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan bagi pihak kerajaan negeri.

Katanya mesyuarat kewangan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, semua kerajaan negeri meminta Kerajaan Persekutuan menjelaskan bayaran bonus untuk kakitangan masing-masing memandangkan beban kewangan yang perlu ditanggung setiap negeri adalah tinggi.

“PM kata beliau akan pertimbangkan perkara ini tetapi jika pembayaran itu lewat, kerajaan negeri akan usahakan juga untuk kakitangan kami,” kata Lim.

Pada sidang akhbar sama, Lim menyambut baik keputusan Sriwijaya Air, syarikat penerbangan swasta yang menawarkan perkhidmatan penuh dan ketiga terbesar di Indonesia, semalam untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai hab penerbangan mereka ke rantau Asean.

Beliau berharap lebih banyak lagi syarikat penerbangan lain memilih Pulau Pinang sebagai destinasi persinggahan mereka berikutan penyenaraian Georgetown sebagai tapak warisan dunia.

“Pulau Pinang mampu menjadi hub pengangkutan dengan segala kemudahan yang dimilikinya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Malik berkata kerajaan negeri akan mewujudkan Halal Hab Antarabangsa Pulau Pinang (HHAPP) bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan menjadi antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang pada masa akan datang.

Bagi tujuan itu, sebuah tapak di kawasan perindustrian Batu Kawan dikenal pasti untuk dijadikan Taman Halal.

“Ketika ini kita akan menggunakan semua produk halal sedia ada untuk menggerakkan HHAPP sementara menjalankan proses mendaftar pengeluar produk halal yang baru,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan negeri juga mengenalpasti kawasan di Balik Pulau untuk dijadikan kawasan pelancongan dan pelancongan kesihatan berkonsepkan halal antarabangsa.

Bagi menjayakan HHAPP, sebuah pejabat Perbadanan Kemajuan Halal (HDC) akan ditubuhkan di Pulau Pinang bagi membolehkan pengeluaran sijil halal dilaksanakan di negeri ini untuk produk-produk halal.

“Kita akan umumkan sedikit masa lagi bila pejabat HDC ini akan dibuka kerana kini kita dalam peringkat akhir perundingan,” katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.