MB Perak : Kelulusan tanah bukan hanya kepada sekolah Cina

IPOH , 5 Sept. :– Kerajaan negeri sedang memproses kelulusan tanah kira-kira 1,000 hektar kepada sekolah agama persendirian dan beberapa institusi Islam di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah mengambil sikap pilih kasih dengan hanya menganugerahkan tanah kepada sembilan buah sekolah persendirian Cina sahaja.
"saya kesian kepada Ketua pemuda UMNO Perak yang tidak mendapat maklumat sebenar mengnai apa yang dilakukan oleh Kerajaan Perak" katanya.

Menteri Besar Perak didampingi ADUN Titi Serong, Setiausaha Akhbar. Setiausaha Politik dan Pegawai Khas.

Beliau sebaliknya berkata, permohonan tanah dari sekolah-sekolah agama itu adalah lebih awal berbanding permohonan yang dikemukakan oleh sekolah Cina terbabit.

‘‘Sebanyak 18 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) persendirian dan pelbagai institusi Islam di negeri ini telah membuat permohonan tanah yang secara keseluruhannya membabitkan keluasan lebih 1,000 hektar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Hadir sama dalam sidang akhbar itu ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim, Setiausaha Politik, Ust. Misbahul Munir, Setiausaha Akhbar, Anuar Hashim dan Pegawai Khas, Amran Harun.

Muhammad Nizar berkata, 18 buah SAR itu terdiri daripada sembilan buah SAR menengah dan sembilan SAR rendah yang telah menubuhkan sebuah koperasi bersama bagi menguruskan tanah berkenaan.

Kata beliau, tanah yang dipohon oleh sekolah terbabit adalah seluas 200 hektar yang akan diusahakan sebagai ladang-ladang supaya mendatangkan hasil.

“Itu baru SAR persendirian, kita turut menerima permohonan tanah daripada pelbagai institusi Islam lain dan jumlahnya jika digabungkan adalah lebih daripada 1,000 hektar,” katanya.

Muhammad Nizar menjelaskan, antara institusi Islam yang memohon tanah kepada kerajaan negeri adalah kira-kira 15 buah sekolah tahfiz al-Quran dan beberapa buah sekolah pondok.

Katanya, kerajaan negeri turut memberi peruntukan awal sebanyak RM1.3 juta kepada 18 buah SAR terbabit kerana keadaan sekolah itu terlalu daif. Disamping itu belia menjelaskan beberapa bantuan segera telah diberikan kepada beberapa Sekolah Agama dan Maahad Tahfiz.

Menurutnya, peruntukan berkenaan telah dikeluarkan kira-kira tiga bulan lalu tetapi tidak mendapat liputan media.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekolah-sekolah persendirian Cina berkenaan akan menubuhkan sebuah syarikat yang tidak mengutamakan keuntungan bagi menampung kos operasi sekolah masing-masing.

Katanya, buat masa ini kerajaan negeri hanya mampu memberi bantuan sebanyak RM30,000 setahun bagi setiap sekolah persendirian itu dan jumlah tersebut amat jauh daripada mencukupi.

‘‘Kos operasi sekolah persendirian Cina itu mungkin mencecah RM10 juta setahun. Kami fikir bagi selesaikan masalah ini dalam jangka panjang, mereka perlu tubuh syarikat yang tidak mengutamakan keuntungan.

‘‘Mereka boleh tanam kelapa sawit yang boleh mendatangkan hasil dengan cepat iaitu dalam tempoh dua setengah tahun sahaja. Kalau nak harap bantuan RM30,000 setahun sahaja mana cukup,” katanya.
Pada sidang akhbar itu beliau juga mendedahkan mengenai Sekolah Pondok Pak Teh di Pebgkalan Hulu yang merupakan seorang Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak yang terpaksa menghentikan operasi sekolah pada bulan Syaaban dan Ramadhan untuk mengutip derma bagi membiayai pengurusan pondok. Dia telah memohon tanah dari Mantan MB yang juga ADUN disitu tetapi tidak dilulusakan.
"Kita sekarang telah mengusahakan kelulusan segera kepada permohonan Pak Teh" Jelasnya.

No comments

Powered by Blogger.