SEMAKIN GHAIRAH


KAKA merupakan antara pemain bintang yang menjadi
buruan kelab City.


LONDON - Manchester City menegaskan tiada apa yang dapat menghalang mereka daripada membawa pemain-pemain bintang ke kelab itu.

Awal minggu ini, sekumpulan pelabur kaya dari Arab berjaya mengambil alih kelab Eastland itu, sekali gus menyaksikan City menjadi antara kelab termahal dunia.

Mereka kemudiannya menggunakan kelebihan kewangan itu dengan membayar 32.5 juta pound (RM198 juta) hanya untuk membawa bintang Real Madrid, Robinho.

Kini City dikaitkan pula dengan perpindahan beberapa nama besar seperti bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo, Kaka (AC Milan) dan Fernando Torres (Liverpool).

Pengarah Urusan City, Garry Cook mendedahkan kelab England itu mempunyai rancangan yang lebih besar selepas mendapat pemilik baru.

"Jangan sesekali katakan tidak pada sukan bola sepak. Situasinya berubah setiap hari," jelas Cook.

"Dua tahun lalu, kelab ini hanya memburu beberapa pemain yang berbeza sahaja. Kini tiada siapa yang akan menghalang kami.

"Apabila kamu berusaha memajukan kelab, kamu tidak akan mengalah untuk mendapatkan beberapa pemain terbaik dunia.

"Persaingannya amat sengit, tetapi kamu kena harapkan kepada pertimbangan pengurus dan keinginan pemain untuk beraksi buat kelab itu.

"Kami kini memasuki era baru. Peminat akan melihat kelibat pemain terbaik dunia. Itulah apa yang mereka nantikan selama ini." - Agensi

No comments

Powered by Blogger.