P OBERSEA BERPAEDAH

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau selaku Ketua Whip Barisan Nasional (BN) telah meluluskan pemukiman Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) ke luar negara pada bulan ini kerana program itu berfaedah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemukiman atau lawatan sambil belajar mulai 7 hingga 19 September itu adalah peluang baik untuk mendedahkan wakil rakyat BN terhadap pelbagai perkara baru.

''Ya, saya meluluskan (pemukiman) ini yang merupakan hasil daya usaha BNBBC dan mereka boleh memilih lokasi di mana saja dan menganjurkannya pada bila-bila masa jika program berkenaan membina,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Rakan Cop Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan menutup PLKN Siri 5/2008 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Najib mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini bahawa sebahagian ahli Parlimen BN diminta menyerahkan pasport antarabangsa mereka untuk program pemukiman ke luar negara bermula Ahad ini ke lokasi yang tidak dinyatakan.

Utusan Malaysia difahamkan China dan Taiwan telah dicadangkan sebagai lokasi pemukiman itu bagi membolehkan ahli Parlimen meninjau perkembangan teknologi pertanian di negara terbabit.

Ditanya sama ada lawatan itu bertujuan memastikan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa 30 wakil rakyat BN akan melompat parti tidak menjadi kenyataan, Najib berkata:

''Dia (Anwar) boleh mendakwa apa sahaja dan kita tidak kisah. Kita akan lihat apa yang akan berlaku pada 16 September ini dan dia berkemungkinan membuat dakwaan lain pula."

Dalam pada itu, Najib enggan mengulas apabila ditanya adakah keyakinan beliau untuk menjadi Perdana Menteri terjejas dengan usaha Anwar menarik sokongan ahli Parlimen BN itu.

''Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara ini. Kita akan lihat apa yang boleh dilakukan apabila perkara ini benar-benar terjadi," ujarnya.

Mengenai kenyataan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail semalam, bahawa beliau tetap berpegang teguh dengan pendirian tidak akan meminta maaf, Najib menyerahkan kepada UMNO Pulau Pinang untuk membuat keputusan.

No comments

Powered by Blogger.