pak lah lagi cerdik dari najib

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak disangka sebagai Menteri Kewangan berlaku semasa Malaysia menghadapi situasi yang paling mencabar, kata adiknya yang merupakan Ketua Eksekutif CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak hari ini.

"Kecuali 1998 (krisis kewangan Asia), setakat ini situasi sekarang merupakan masa paling mencabar untuk menjadi Menteri Kewangan," kata beliau semasa ditanya sama ada Najib yang kini sebagai menteri kewangan boleh menyediakan kekuatan baru kepada ekonomi setelah dunia memasuki tempoh tidak menentu hasil daripada krisis kredit global.

"Ini apa yang saya beritahu beliau. Kami mengucapkan selamat berjaya kepada beliau," kata Nazir selepas melancarkan CIMB InvestSave, produk simpanan dan pelaburan di sini.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan beliau dan timbalannya akan bertukar portfolio, dengan Abdullah mengambil alih pertahanan dan Najib portfolio kewangan berkuatkuasa serta merta.

Pertukaran kedua-dua portfolio itu dilihat sebagai langkah untuk mempercepatkan pelan peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib yang ditetapkan pada 2010.

Dalam perkembangan lain, Nazir juga ditanya mengenai tekanan jualan di Bursa Malaysia, dengan penanda aras Indeks Komposit turun hampir 39.70 mata atau 3.96 peratus pagi ini, paras terendah dalam masa 39 bulan pada 963.29 mata, menjadikan bursa tempatan di kalangan pasaran paling rendah di rantau ini.

"Ini (penurunan yang ketara) mencerminkan ketidaktentuan global. Kita tidak boleh terlepas daripada kekecohan dunia dan melihat kepada sebab kejatuhan harga.

"Kita bercakap mengenai pakar dana dan perunding pelaburan global dalam perkhidmatan kewangan," kata beliau semasa merujuk kepada ketidaktentuan dalam pasaran saham.

Pasaran saham seluruh dunia menjunam setelah institusi Wall Street seperti Merril Lynch dan Lehman Brothers berdepan dengan masalah kewangan yang serius yang menyebabkan krisis kredit yang teruk.

Pasaran terus jatuh selepas tindakan kerajaan AS menyelamat syarikat insurans American International Group pada AS$85 bilion (AS$1=RM3.45), gagal menenangkan pelabur.

Sebelum itu pasaran telah terjejas dengan berita bank pelaburan, Lehman Brothers Holdings Inc, memfailkan untuk muflis, terbesar dalam sejarah korporat AS dan pengambilalihan Bank of America melibatkan AS$50 bilion terhadap pesaing Merrill Lynch & Co.

Ketika ditanya prospek pemulihan KLCI (kemudiannya), Nazir berkata: "Saya tidak dapat menyatakannya. Ia amat sukar."

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.