FOREX: Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini apabila kebanyakan peniaga menjual mata wang tempatan mereka bagi dolar AS, kata para peniaga.

Pada 5 petang, ringgit ditutup pada 3.4600/4650 berbanding dolar AS daripada 3.4520/4550 semalam.

Sepanjang dagangan hari ini, ringgit bergerak antara 3.4550 dan 3.4670.

Pengarah Perbendaharaan Al-Rajhi Bank (M), Che Zam Fadzilah Abdul Kahar berkata aliran ketika ini tidak menyebelahi ringgit menyebab ia semakin menurun.

Beliau berkata situasi politik tempatan ditambah dengan krisis kewangan AS yang semakin buruk turut mempengaruhi pergerakan ringgit.

"Dolar AS ketika ini masih pada premium yang sangat tinggi kerana kadar faedah tinggi di AS. Kadar faedah kita tidak berubah dan ini mempengaruhi peniaga untuk beralih dan mengurangkan pegangan mata wang tempatan mereka," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan dolar AS mungkin hanya sementara.

Che Zam berkata ringgit akan berdepan pembetulan menurun seterusnya kepada sekurang-kurangnya 3.30 pada minggu-minggu yang akan datang.

Ringgit juga ditutup rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.4178/4232 daripada 2.4026/4062 semalam dan turun kepada 3.3076/3139 berbanding yen daripada 3.2689/2727 sebelumnya.

Unit tempatan menyusut berbanding euro kepada 4.9868/9951 daripada 4.9087/9144 sebelumnya dan turun berbanding pound sterling kepada 6.3032/3140 daripada 6.1594/1661 semalam.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.