Pemuda MCA Perak Gesa Kepimpinan Parti Pertimbangkan Keluar Daripada BN

IPOH, 6 Sept (Bernama) -- Pemuda MCA Perak hari ini menggesa pucuk pimpinan pusat parti itu supaya mempertimbangkan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya para pemimpin Umno, parti politik terbesar dalam gabungan itu, tidak mahu mengubah sikap.

Mengambil contoh kenyataan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail baru-baru ini, Ketua Pemuda MCA Perak Datuk Tan Chin Meng berkata pendekatan sedemikian telah menyinggung perasaan kaum bukan Bumiputera selain boleh menjejaskan perpaduan rakyat di negara ini.

"Maka Pemuda MCA Perak menyeru kepada pemimpin MCA pusat supaya mempertimbangkan sekiranya pemimpin-pemimpin Umno masih tidak ingin menukar perangai mereka, untuk keluar daripada BN," katanya kepada pemberita selepas berucap sebelum majlis pemilihan jawatan Pemuda MCA Perak di Dewan St John Ambulans di sini Sabtu.

Tan, yang tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan itu, berkata Pemuda MCA Perak tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk para pemimpin Umno mengubah sikap tetapi menegaskan mereka (pemimpin Umno) harus menunjukkan kejujuran untuk berubah.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) kerana menyuarakan BN dan Umno akan buat perubahan tetapi nampaknya pemimpin di peringkat nasional dan negeri tidak mengikuti langkah beliau," katanya.

Tan berkata keengganan para pemimpin BN khususnya Umno untuk mengambil pengajaran daripada keputusan pilihan raya umum lepas akan menyebabkan gabungan itu akan dihukum dengan lebih teruk oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

"Punca BN kalah pada pilihan raya umum lepas disebabkan isu berkenaan pemimpin-pemimpin kita khususnya Umno yang menyuarakan perkataan atau suara yang begitu sensitif dan tidak mementingkan perasaan kaum-kaum yang lain," katanya.

Semalam Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata parti itu akan mengkaji semula kedudukannya dalam BN sekiranya parti komponen BN terutamanya Umno, gagal membuat perubahan untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.