RESPON KEPADA PANDANGAN DATO' MUSTAFFA ALI

Saya menghormati pandangan dan pendapat Dato’ Mustafa Ali berkaitan dengan isu lompat parti dan kerajaan baru 16 September. Kita tidak boleh menyalahkan pandangan peribadi. Pandangan peribadi merupakan brain storming dalam sesuatu polemic.



Ada perkara yang saya bersetuju dengan pandangan beliau. Namun saya juga berpandangan bahawa isu ‘penyeberangan parti’ perlu diterima kalau melihat kepada hakikat politik Malaysia mutakhir ini. Di sini saya turunkan beberapa hujah:-



1. Kemenangan BN dalam pilihanraya adalah bukan secara demokratik. Kemenangan mereka banyak dibantu oleh SPR, media massa dan jentera kerajaan. Mereka menang dalam satu padang perlawanan yang tidak rata. Sekiranya, PRU diadakan secara adil dan telus, saya amat yakin BN bukanlah pemerintah pada hari ini. Jadi inilah saatnya, keadilan ditegakkan. Kalau ‘penyeberangan parti’ itu tidak demokratik, maka kemenangan BN lagi tidak demokratik.

2. Kalaulah dikatakan penubuhan kerajaan baru melalui ‘penyeberangan parti’ tidak demokratik, maka adakah mangsa yang masih terpenjara di bawah ISA itu dilakukan secara adil dan demokratik. Bukan sahaja mereka yang teraniaya, jangan lupa pula penderitaan isteri, anak-anak dan sanak-saudara mereka. Hanya kerajaan baru yang dapat mengakhiri nasib malang mereka ini.

3. Bagaimana pula dengan akta-akta lain seperti OSA, AUKU, Akta Mesin Cetak dan seumpamanya? Adakah semuanya demokratik? Kalau ‘penyeberangan parti’ itu tidak demokratik, akta-akta ini sangat jauh dari demokratik.

4. Bagaimana pula penafian hak, bantuan dan tender kepada orang yang tidak menyokong BN. Apakah ini demokratik? Sudah lama orang PAS dinafikan wang ehsan dan berapa ramai kontraktor yang menyokong PAS gulung tikar kerana tindakan BN? Anak-anak ahli PAS yang nak melanjutkan pelajaran keluar negera seperti Mesir dinafikan biasiswa dan pinjaman; terpaksa cari sedekah sendiri. Lagi jauh dari demokratik.

Cukuplah 4 soalan ini untuk kita renungkan. Banyak lagi siri kezaliman BN yang anda semua boleh senaraipanjangkan. Maka salahkah kita mengakhirkan hayat kerajaan yang tidak demokratik dengan cara ‘penyeberangan parti’? Lebih-lebih lagi penyeberangan itu datang dari rasa kesedaran yang melihat betapa buruknya wajah dan perilaku BN pada hari ini. Saya percaya, orang UMNO juga semakin benci kepada partinya yang korup, berlaku tumbuk-menumbuk dalam pemilihan pemimpin peringkat cawangan dan sebagainya. Di dalam parti manakah politik wang amat membarah sekarang? Jadi salahkah kalau ada di kalangan mereka yang ingin meninggalkan UMNO dalam keadaan peluang terbuka ini?

Kesimpulannya, bagi saya kerajaan baru melalui proses ‘penyeberangan parti’ adalah jauh lebih baik dan demokratik dari cara BN mendapat kemenangan itu sendiri. “Penyeberangan parti” jauh lebih wajar daripada ketidakwajaran ISA, OSA, Akta Mesin Cetak, ketidakadilan media massa dan seumpamanya.

Hendak tidak hendak, ‘penyeberangan parti’ hendaklah diterima sebagai sesuatu yang lebih baik dari ketidakadilan yang tidak tahu bila penghujungnya. Seluruh rakyat mesti bangun berdiri menyokong perubahan ini jika kita hendak melihat berakhirnya kebejatan politik BN ini. Malah ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa wajar kita beramai-ramai solat hajat ketika ini agar kerajaan BN segera jatuh dan kerajaan baru Pakatan Rakyat naik dengan selamat dan membawa kebaikan kepada Islam dan rakyat keseluruhannya. Setujukah anda?

1 comment

Nik Adzhar said...

Se tuju...1 tujuan..Islam/dan menjadi mukmin yang soleh yg pasti.InsyaAllah.

Emm.Saje nk introduce blog hehe,..
sejuk sikit mata tu..

htp://zahan-article.blogspot.com

Powered by Blogger.