Titah Tengku Mahkota Pahang kepada Umno

Dalam satu kenyataannya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahukan Umno melakukan usaha bagi mengukuhkan institusi Raja-Raja Melayu dalam meningkatkan peranannya selaku penaung dan pelindung orang Melayu dan agama Islam.
Iklan




Baginda bertitah, "Bukannya kita hendak kuasa lebih tetapi kita perlu kaji supaya institusi ini tidak boleh diperkotak-katik, dipersenda atau diperkecilkan oleh mana-mana pihak."

"Dalam hubungan ini, bukan soal siapa lebih berkuasa antara eksekutif, kerajaan yang memerintah dan institusi raja-raja (tetapi) yang penting ialah raja-raja Melayu dan juga parti yang memerintah, mempunyai semangat untuk 'co-exist' supaya kesejahteraan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara."

Tentulah ada sebab mengapa Tengku Mahkota Pahang mengeluarkan titah-kenyataan sedemikian.

Apa yang dititahkannya itu memang benar kerana sepatutnya pemerintahan negara bersaling-wujud (co-exist) di antara badan eksekutif dengan insitusi raja.

Tetapi apa yang berlaku, malah sejak merdeka lagi, seolah-olah ada usaha Umno yang menguasai pemerintahan eksekutif meminggirkan kuasa mutlak raja-raja.

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen dan monarki berperlembagaan (raja berperlembagaan).

Oleh itu parlimen yang mewakili kuasa eksekutif kerajaan tidak boleh terpisah dari peruntukan mengenai Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.

Maksud ungkapan 'raja mengatasi undang' dalam sebuah negara seperti ini tidak sahaja bermakna 'raja tidak boleh didakwa di mahkamah' tetapi bermakna perlantikan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen adalah dibuat atas kuasa Yang Di-Pertuan Agong (yang mewakili institusi Raja-Raja Melayu.)

Begitu juga dengan perlantikan hakim bagi menganggotai badan kehakiman yang mana merupakan satu lagi cabang atau institusi dalam sebuah negara demokrasi.

Justeru dalam doktrin pengasingan kuasa dalam konteks sebuah negara demokrasi berparlimen dan monarki berperlembagaan sepatutnya difahamkan seperti berikut: Raja, Legislatif, Eksekutif dan Judiciary dan bukannya tiga badan terkemudian sahaja.

Walaupun ada usaha pihak tertentu memesongkan pemahaman doktrin ini namun kuasa Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu, termasuk kuasa memecat Perdana Menteri, menggantungkan Parlimen, mengambil tanggungjawab sebagai Panglima Tertinggi Angkatan tentera secara mutlak tidak boleh dilihat sebagai simbol kosong yang tidak mempunyai apa-apa erti.

Malangnya dalam masa 50 tahun memerintah negara, Umno semakin dilihat sebagai menjalankan semua kuasa � Raja, Legislatif, Eksekutif dan Judiciari.

Titah kenyataan Tengku Abdullah itu sudah tentulah disambut baik oleh kebanyakan rakyat terumatanya orang Melayu dan Islam yang kian sedar usaha tidak langsung Umno meminggirkan instutisi raja. - mr _

No comments

Powered by Blogger.